MENEMPUH pelbagai cabaran dan kontroversi sebelum bergelar suami isteri kini Akhil Abdul Hai atau Akhil Hayy, 40, dan Norwahida Abdul Wahab (Waheeda), 31, menjalani kehidupan rumah tangga yang rukun dan damai. |
Selepas lebih dua bulan melayari bahtera rumah tangga, Sabtu lalu, mereka mengadakan majlis kenduri meraikan keluarga, sanak saudara, kenalan jauh dan dekat di Dewan Guthrie Bukit Jelutong, Shah Alam. Hampir 2,000 tetamu hadir.
Pasangan itu dinikahkan di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Pada hari akad nikah itu Waheeda tidak menerima wang hantaran tetapi keluarganya meminta senaskhah al-Quran disertai hantaran tujuh dulang dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan dan mas kahwin RM80.
Ketika ditemui Waheeda berkata, sudah lama dia berhasrat hendak bersara dari dunia seni tetapi hajat di hati tidak kesampaian.
"Berhenti kerja masa bujang, siapa pula hendak menyara hidup saya. Takkan hendak bergantung kepada ibu bapa, tentu mereka akan bising.
"Justeru, impian untuk meninggalkan dunia seni dicapai selepas saya berumah tangga kerana sudah ada suami yang dapat menyediakan segala keperluan buat saya.
"Sekarang hati saya lebih tenang berada di rumah menjaga makan minum suami dan kesibukan menjaga Maisara dan Sharif membuatkan saya lupa apa yang pernah dilalui dulu.
"Saya tidak rindu untuk menyanyi lagi kerana kesibukan seharian. Kini waktu saya dipenuhi dengan aktiviti sebagai suri rumah tangga. Dulu tak ada anak boleh relaks, sekarang sudah ada anak macam mana letih pun saya tetap bangun awal menguruskan mereka makan minum mereka.
"Tiada masalah menguruskan anak tiri kerana sejak dulu saya memang sukakan kanak-kanak. Maisara dan Sharif pun sudah besar lalu tidak sukar menjaga mereka. Syukur juga ke hadrat Allah kerana mereka dapat menerima saya sebagai ibu dan memanggil saya mama.
"Mereka mudah menyesuaikan diri dengan saya dan dapat menerima saya seadanya.
Tambah Waheeda, selepas berkahwin kehidupannya juga lebih tenang dan terkawal kerana tumpuan utama kepada rumah tangga dan beribadah kepada Allah swt.
"Sekarang saya berusaha mencari keredaan daripada Allah. Saya akan memperbaiki kekurangan diri dan kini kami bersama mengejar akhirat.
"Kami juga bercadang mencari rumah baru yang lebih selesa daripada rumah yang diduduki sekarang di Kota Damansara kerana Maisara dan Sharif semakin membesar," katanya.
Jelas Akhil pula, dia bersyukur kerana sama ada dia ataupun Waheeda memahami tugas masing-masing dalam rumah tangga.
"Kami mencuba untuk menjadi yang terbaik dalam apa juga keadaan. Saya tidak pernah melarang Waheeda meninggalkan bidang seni yang pernah diceburinya dulu tetapi apabila dia mengambil keputusan untuk bersara saya bersyukur kerana tempat isteri di sisi suami.
"Selain itu juga kami juga ada anak yang memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan. Saya masih menerima undangan berceramah dan jika ada permintaan dan keperluan Waheeda perlu hadir sama, kami akan pergi bersama.
"Selepas apa yang saya alami, barulah saya kenal siapa kawan dan lawan. Apa yang penting sekarang saya ingin rumah tangga yang bahagia dan diredai Allah," katanya.
Ditanya mengenai cahaya mata, Waheeda diam seketika dan Akhil menjelaskan bagi pihak isterinya, mereka terima apa yang ada sekarang.
"Yang penting sekarang, Waheeda dapat terima anak saya seperti anaknya sendiri. Apa juga spekulasi yang timbul saya serahkan kepada Allah swt kerana Dia lebih tahu dan hanya kami berdua yang faham.
"Walaupun saya sudah berpisah dengan bekas isteri namun kami tidak pernah memisahkan hubungan mereka adik-beradik. Hubungan yang terlerai antara suami isteri tetapi mereka tetap adik beradik seibu dan sebapa.
"Anak yang tinggal bersama saya akan dijaga dengan sebaik mungkin dan sebagai ibu saya yakin dia juga akan menjaga anaknya dengan baik.
"Sebagai bapa juga sudah tentu saya merindui anak yang sekarang tinggal bersama ibu mereka," katanya yang akan kembali sibuk mengendalikan program realiti di Astro Oasis tidak lama lagi.
Mengenai majlis kenduri yang diadakan, Akil berkata sebenarnya mereka hanya inginkan sebuah majlis pernikahan dan perkahwinan yang ringkas. Cukup dengan mengadakan majlis akad nikah tetapi atas permintaan keluarga kedua-dua pihak mereka adakan juga majlis kenduri ini.
"Waheeda adalah anak dan cucu sulung dalam keluarganya, jadi ibu bapa dan kaum keluarganya teringin sangat hendak melihat kami bersanding. Apa yang kami buat hari ini demi memenuhi permintaan keluarga.
"Pelamin ini dibuat pun sebenarnya untuk bergambar dengan keluarga, saudara mara dan rakan," katanya yang akan mengadakan majlis kenduri sebelah keluarganya pada November ini di Gopeng, Perak.
Sebagaimana pasangan pengantin baru yang lain, pasti ditanya ke mana berbulan madu.
Sambil tersenyum manis pada isteri di sisi, jawab Akhil, setiap hari mereka berbulan madu.
Pada hari berbahagia itu pasangan mempelai menggayakan busana serba hitam berkonsep Maghribi yang diilhamkan oleh jurusolek dan perunding perkahwinan, Ain, menerusi syarikat Pro Event Management & Consultancy.
Tambah Akhil, kelancaran majlis itu juga banyak dibantu persatuan Nasyid.com.
0 comments:
Post a Comment