SUSULAN laporan sebuah akhbar tabloid tempatan berhubung dakwaan cinta songsang pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Abdul Razak, 22, bertarikh 1 Januari 2010, mStar Online terpanggil untuk menghubungi aktres sedang meningkat naik yang juga kekasih hati Zaquan, Ayu Raudhah Che Wan bagi mendapatkan komen dan pandangan lanjutnya berhubung isu tersebut.
Menurut laporan, Zaquan telah didakwa mempunyai hubungan terlarang bersama seorang 'kekasih gelap' kaum sejenis, dipercayai berasal dari Sarawak, yang dikenalinya menerusi ruang sembang di Internet.
Bagaimanapun, akhbar tabloid itu semalam melaporkan, dalang di sebalik penyebaran fitnah itu sudah pun dikenal pasti.
"Dakwaan itu memberikan kesan yang tidak baik bukan sahaja pada Zaquan dan keluarga, malah saya turut terkena tempiasnya. Ia agak keterlaluan dan mengaibkan Zaquan.
"Kesannya amat besar dan mencemar nama baik Zaquan sekeluarga. Sudah tentu masyarakat akan berpandangan serong pada Zaquan. Ini amat memalukannya. Saya terkilan dan kecewa dengan fitnah itu," katanya.
Bercerita lanjut, Ayu mengakui, Zaquan ada menghubunginya sebaik sahaja cerita itu diterbitkan untuk meluahkan perasaan tertekan dan kecewa pemain bola sepak itu terhadap fitnah tersebut.
"Zaquan memang ada menghubungi Ayu sebaik sahaja berita itu keluar. Dia sangat tertekan dan malu dengan fitnah yang melanda. Dia terus balik ke rumah orang tuanya di Seremban untuk berjumpa dengan keluarganya bagi membincangkan lebih lanjut mengenai berita itu," ujar Ayu lagi.
Ayu lantas ditanya adakah kekasihnya itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hebahan fitnah itu, pelakon siri popular Nur Kasih itu berkata, dia memang ada mendengar bahawa Zaquan ada bertemu dengan peguam berhubung isu fitnah itu.
Namun, sebagai orang luar dia tidak berani untuk memberikan sebarang komen mengenai perkara itu memandangkan pihak keluarga Zaquan belum membuat sebarang keputusan lagi.
"Memang Zaquan sudah berbincang dengan peguamnya berhubung isu fitnah itu. Tapi, saya masih belum tahu keputusan yang akan diambil kerana keluarganya belum buat apa-apa keputusan. Lagipun tidak elok untuk saya komen apa-apa kerana saya orang luar," jelas Ayu.
Ayu yang mengakui telah berkawan dengan penyerang pasukan Negeri Sembilan itu sejak tujuh bulan lalu, amat bersimpati dengan dugaan yang menimpa kekasihnya.
Beralih perbualan kepada perkembangan karier lakonan Ayu, adik kepada aktres Rozita Che Wan ini berkata, dia baru sahaja menamatkan penggambaran untuk sebuah telefilem berjudul Sekam untuk siaran RTM. Menurut Ayu, dia memainkan watak sebagai Mazlin, seorang pembunuh yang membunuh dalam diam kerana ingin membalas dendam. Telefilem arahan Rahim Awang itu turut memerlukan Ayu melakonkan aksi bersilat serba sedikit.
Menyentuh tawaran filem pula, Ayu berkata dia dijangka akan turun ke lokasi penggambaran filem Nur Kasih arahan Kabir Bhatia pada April depan. Selain Nur Kasih, Ayu yang turut terlibat dalam filem Madu Empat (arahan Razak Mohaideen) dan Durian vs Timun (arahan AR Badul) teruja untuk menyaksikan kedua-dua filem lakonannya itu menjengah pawagam pada tahun ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment