Monday, 2 August 2010

Hati Aleeza Kassim terluka teruk






PADA April lalu, peminat hiburan dikejutkan dengan laporan berita tentang perceraian talak satu pelakon dan model terkenal, Aleeza Kassim dan suaminya, Mohd. Fauzi Che Ros. Ketika media tertanya-tanya apakah puncanya.
Diam membisu seribu bahasa, menjelang Mei pula, pasangan itu bagaimanapun disahkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya sebagai masih merupakan suami isteri yang sah apabila lafaz cerai Mohd. Fauzi pada 24 Januari lalu dikategorikan sebagai berbentuk hasrat tetapi tidak dilaksanakan.
Sejak itu, tiada lagi perkhabaran mengenai Aleeza dan Mohd. Fauzi. Apakah sebab Mohd. Fauzi melafazkan cerai, adakah pasangan itu yang sudah membina institusi perkahwinan selama empat tahun masih lagi bersama saat ini hanya tinggal menjadi persoalan tanpa jawapan.

Justeru, apabila Aleeza menjemput pihak media untuk menghadiri majlis pelancaran jenama pakaiannya, AK (Aleeza Kassim) di ibu kota baru-baru ini, peluang keemasan itu digunakan sepenuhnya untuk bertanya mengenai status hubungannya.
"Dia (suami) masih berada di sisi saya. Cerita mengenai perceraian itu amat panjang dan saya sudah cukup tertekan ketika itu. Kalau boleh saya tidak mahu mengungkit atau bercerita lagi pasal perceraian tersebut," luah Aleeza.


ALEEZA enggan mendedahkan punca perceraiannya kerana baginya ia sesuatu yang amat peribadi.



Hadir bersama suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan, Aleeza buat masa ini hanya mahu memberi tumpuan kepada kariernya.
Jika suaminya itu menolak dengan baik untuk memberikan sebarang komen, Aleeza pula sekadar mengulas ringkas. Enggan menghurai secara terperinci mengenai kisah personalnya, model berusia 37 tahun itu bagaimanapun berharap hubungan dirinya dan suami akan berpanjangan.
"Sebenarnya saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan keadaan sebenar. Mungkin suatu hari nanti bila anda lihat dia (suami) tidak berada di sisi saya, maka anda tahulah. Tapi buat masa ini saya berharap kami boleh hidup bersama," akuinya.
Tidak menafikan dirinya berasa sedih ketika kejadian itu berlaku, Aleeza memberitahu, sokongan daripada orang terdekat membuatkan dirinya lebih tabah.
Namun, dia akur bahawa dirinya tidak boleh memutarkan semula masa kerana apa yang berlaku sudah berlaku.
"Isu ini telah melukakan hati saya dengan teruk. Benda itu (cerai) hendak jadi. Apa yang boleh saya lakukan? Tapi anda tidak perlu tahu kenapa ia terjadi kerana semua itu adalah terlalu peribadi untuk dikongsi bersama.
"Biarkan ia berlalu kerana tiada apa yang boleh dibuat sekarang. Saya sudah sembuh terutama dengan sokongan orang sekeliling. Saya juga kaunseling diri sendiri," ujar pemilik agensi vogue@work yang mengendalikan kursus peragaan buat model-model baru itu.


TIDAK mahu statik sebagai model dan pelakon sahaja, Aleeza kini mengorak langkah untuk bergelar ahli bisnes.



Menegaskan perceraian itu tidak mempunyai kaitan dengan orang ketiga, dia mengakui masalah yang timbul adalah disebabkan Aleeza dan suaminya sendiri.
Selain daripada isu perceraian, ramai juga yang menyatakan kebahagiaan Aleeza dan suami yang berusia 47 tahun itu adalah satu lakonan bagi mengaburi mata umum.
"Sama ada saya pura-pura bahagia atau tidak, orang luar tidak tahu. Media boleh menceritakan apa sahaja tetapi hanya diri saya yang tahu sama ada saya bahagia atau tidak.
"Namun, sepanjang perkahwinan kami, dia sentiasa mengambil berat mengenai saya," tegasnya.
Bicara Aleeza jujur: "Saya amat menghormati suami. Dia sentiasa memberi sokongan tidak kira dari segi karier mahupun dalam hal lain."-kosmo

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...