PERGOLAKAN rumah tangga yang melanda bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 29, yang juga seorang dramatis, semakin goyah apabila suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 30, tampil membuat pendedahan mengenai sikap yang dianggapnya sebagai kecurangan seorang isteri.
Farriq yang juga seorang ahli perniagaan sebelum ini sekadar mendiamkan diri. Kini, dia perlu tampil menceritakan situasi sebenar apabila sudah banyak pendedahan menerusi media massa sejak kebelakangan ini yang boleh mencalar imejnya, sekali gus dia tidak mahu terus dilabel sebagai suami dayus.
Pun begitu, Farriq yang ditemui B*POP baru-baru ini sempat menunjukkan bukti rakaman menerusi CCTV (rakaman kamera litar tertutup) bahawa Fiza menjemput Malek di kediamannya di Pandan Mewah Heights pada 17 September lalu kira-kira jam 1.50 petang dan kedua-duanya beredar dari situ beberapa minit kemudian.
“Sebagai suami, saya akui gosip didedahkan media massa mengenai kecurangan Fiza bersama Malek sejak akhir-akhir ini adalah benar! Bagi saya, Fiza menipu dan menduakan suaminya adalah satu kesalahan. Kepercayaan saya membenarkan Fiza untuk terus berlakon disalah guna. Sebelum ini saya hanya mendiamkan diri, tapi lama kelamaan, perangai Fiza semakin teruk! Namun, saya akui sudah keluar rumah hampir empat bulan lalu, tapi tindakan saya bersebab kerana perangai Fiza yang semakin menjadi-jadi!
“Sudah beberapa kali saya berjaya menghidu kecurangan Fiza bersama beberapa lelaki termasuk bukti SMS. Bukan setakat itu saja, ibu Fiza juga masuk campur tangan urusan rumah tangga kami sehingga dia pernah tertonyoh hidung saya! Saya ambil keputusan keluar rumah, tapi saya tidak ke mana-mana, sebaliknya menetap bersama ibu dan ayah saya di Gombak, Selangor untuk sementara waktu. Namun, segala perbelanjaan Fiza bersama anak-anak saya sediakan, termasuklah pembayaran ansuran bulanan kereta Fiza dan rumah kami di Damansara, saya jelaskan.
“Sebagai suami, saya menunggu Fiza minta maaf kerana dia pernah melakukan kesalahan beberapa kali. Seorang isteri perlu mentaati suaminya setiap hari. Fiza boleh menemui saya di Gombak dan minta maaf, sebaliknya dia tidak berbuat begitu. Terbaru, Fiza menjalin hubungan dengan seorang jurukamera bernama Malek. Sudah beberapa kali saya berjaya mengesan pergerakan mereka berdua. Pada Ramadan lalu, kedua-duanya dilihat sering keluar bersama dan Fiza menghantar Malek pulang ke rumahnya sekitar jam 3 atau 4 pagi beberapa kali!
“Fiza pula sanggup jadi driver Malek sedangkan kereta itu saya bayar ansurannya untuk kemudahan dia bersama anak-anak, bukannya bersama Malek ke hulu ke hilir. Fiza mahupun Malek sering menganggap perbuatan mereka itu tidak salah kerana sekadar keluar makan bersama, tapi kalau sudah bercuti bersama, apa cerita? Apabila isteri keluar rumah tanpa izin suami, hukumnya berdosa besar, inikan pula sewenang-wenangnya melabel semua perbuatan itu tidak salah!
“Sebagai isteri, Fiza sering mempertikai statusnya kerana saya sudah keluar rumah empat bulan dan kerap memaksa supaya dirinya diceraikan. Tapi, segala-galanya terpulang kepada saya, talak di tangan saya. Apa saja keputusan, saya akan pastikan untuk memperoleh hak penjagaan anak. Biarlah mahkamah tentukan sama ada berlaku nusyuz atau sebaliknya. Saya tak mahu dilabel sebagai dayus!
“Dalam perbualan kami sebelum ini, Fiza mahupun Malek pernah membuat pengakuan mereka menyayangi antara satu sama lain, tapi sebagai seorang kawan, biarlah mahkamah buat penilaian sewajarnya sekiranya perkara ini berlarutan. Saya cabar Fiza dan Malek tampil membuat pengakuan kerana selama ini kedua-duanya terus mendiamkan diri. Saya tak takut kerana saya di pihak yang benar,” kata Farriq.
Fiza pula ketika dihubungi tidak mahu memberikan sebarang komen.
0 comments:
Post a Comment