Tuesday, 5 October 2010
Jimmy Shanley Resah Kahwin Anak Datuk
MENJELANG hari pernikahan, sebelum munculnya tanggal keramat 1 Oktober lalu, segudang perasaan meribut di jiwa bekas pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 31. Dia tahu, melafaz nama Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, pada acara akad nikahnya, transisi baru sebagai kepala keluarga pasti menunggu di haluan depannya.
Bukan tidak menyiapkan diri seawal mungkin untuk menempuh hidup baru bersama si penangkap hatinya yang merupakan puteri tunggal daripada tiga beradik itu. Jimmy sebaliknya membayang beragam emosi lain turut dirasai oleh setiap bakal mempelai sebelum munculnya hari berbahagia dipertauliahkan gelaran sebagai sang suami.
Tanpa berselindung, penama lengkap Jimmy Shanley Norjahan Saleh itu membuka cerita, entah kenapa dirinya berasa resah gelisah dan gementar malam sebelum diijabkabulkan. Bayangkan, Jimmy sempat melayangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu pengantin perempuan, Datin Muniroh Kassim gara-gara tidak sempurna lelap tidurnya.
“Kononnya saya hantar SMS kepada ibu Suhaila sebab hendak meluah perasaan selepas pulang menghantar kad jemputan kepada seorang teman sekitar 2 pagi. Tapi, dia tidak membalas pula sebab barangkali sudah tidur pada waktu itu. Kerana itu, saya melayan sendiri kebimbangan dalam diri selang beberapa jam sebelum bernikah.
“Rasa berdebar sampai tidak boleh tidur. Malah, saya sempat fikir, ini menjadi malam terakhir tidur seorang diri. Jadi, saya semahunya menikmati saat ini kerana malam seterusnya sudah ada isteri,” kata Jimmy ketika ditemui usai majlis pernikahannya di kediaman Suhaila di Bandar Sunway Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor Sabtu lalu.
Tidak mencuri waktu panjang menyambung bicara, hos bersama Akademi Fantasia 8 (AF8) itu sekali lagi menghantar SMS kepada Muniroh. Tiada lain diinginkan, dia sebolehnya mahu merawat kekecewaan dialami dengan bertebar cerita kononnya Jimmy bernikah dengan Suhaila atas dasar harta.
“Saya tahu ada sebilangan pihak buat spekulasi kurang enak sebelum ini. Dan kerana itu, saya menerangkan semula kepada ibu Suhaila bahawa perkahwinan ini terjalin atas dasar cinta ditambah sudah lama sebenarnya saya memendam hasrat untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka.
“Ingatkan dapat jadi anak angkat saja, rupa-rupanya tanpa disangka jadi menantu pula,” jawab Jimmy tertawa nakal sambil diperhatikan Suhaila yang lebih banyak mengerling manja belahan jiwanya itu daripada membuka mulut sementelah tidak terbiasa berdepan dengan pihak media.
Ditebak tentang perasaannya selepas melalui tiga kali lafaz akad nikah untuk memperisterikan Suhaila, anak jati Ipoh, Perak itu terang-terangan memperlihat reaksi lega. Biar bibirnya mengungkap kelegaan itu, hakikatnya senyuman terpancar dari anak mata Jimmy, ternyata mengisytiharkan segala-galanya.
“Siapa saja tidak gembira selepas selamat dinikahkan. Begitupun, ini sekadar permulaan kepada hidup saya dan Suhaila. Biasalah, selepas ini asam garam rumah tangga akan bermula. Dengan saya semakin berusia, harap dapat menjadi lebih matang dalam segala hal. Bahkan, saya kena seimbangkan kehidupan apatah lagi sudah punya isteri.
“Sebaik saja semua selesai termasuk resepsi perkahwinan ini, saya akan membawa Suhaila berpindah ke rumah sendiri di Subang Jaya, Selangor. Cuma, masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang perancangan selepas mendirikan rumah tangga,” luah Jimmy yang mahukan lima cahayamata - empat lelaki dan satu perempuan.
Cinta selepas nikah
Dengan tiga kali lafaz, Jimmy selamat bergelar suami Suhaila pada pukul 4.40 petang Sabtu lalu selepas dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah/Jurunikah Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Mustafa Kamal Abu Bakar berwalikan bapa pengantin perempuan, Suhaimy Othman.
Jejaka kacukan Melayu-Australia yang kelihatan kacak dengan sepersalinan baju Melayu rona kelabu ilham Rizman Ruzaini itu memberi mas kahwin dan wang hantaran berjumlah RM31,186. Ia sebagai memperingati hari lahir isterinya yang jatuh pada 31 Januari 1986 sambil membawa sembilan dulang hantaran berbalas 11.
Kisah mereka bermula dengan satu bidikan lensa kamera sebagai selebriti dan peminat di Genting Highlands sekitar empat tahun lalu. Kuasa Yang Maha Esa tiada tolok tandingnya. Kemudian, mereka dipertemukan kembali Januari lalu sebelum kedua pihak mengambil kata putus mahu mengikat tali pertunangan pada 11 Jun 2010.
Dalam masa singkat, mereka kini sah menjadi suami isteri dari segi hukum dan agama. Mengenali antara satu sama lain secara serius sepantas kilat, justeru, Jimmy dan Suhaila mahu menjalin cinta selepas hari bahagia mereka.
Bagai menjadi lumrah apabila ada sesetengah pasangan pengantin baru lebih mendalami sesama sendiri selepas melafaz akad nikah.
“Dengan tempoh perkenalan kami yang pantas, banyak lagi saya tidak tahu tentang isteri. Sama juga dengan keadaan Suhaila yang belum kenal secukupnya tentang saya,” akui Jimmy yang bakal berbulan madu di dalam negara tidak lama lagi dan memasang hajat untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada Februari tahun depan.
Dalam pada itu, Suhaila yang merupakan anak pengasas kepada produk kecantikan Natasha berkata, dia meluah kesyukuran kerana selamat bergelar isteri Jimmy. Biarpun nampak sedikit pemalu dan lontaran suaranya menebal dengan dialek Kedah, dia bagaimanapun cuba berkongsi emosi kepada himpunan pihak media yang duduk di depannya.
“Alhamdulillah, semua berjalan seperti dirancang. Tiada sebarang perbezaan walaupun kami telah disatukan. Jimmy boleh meneruskan kerjaya seni tanpa sebarang masalah manakala saya akan terus bekerja dengan famili. Sebagai isteri, sudah tentu saya akan terus menyokong dia dari belakang,” jelasnya yang memuja sikap humor dan menghormati suaminya kepada orang tua.
Pasangan itu mengadakan resepsi persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad, 3 Oktober lalu manakala sebuah lagi majlis untuk sebelah perempuan di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah (9 Oktober) dan diakhiri dengan pihak Jimmy di Ipoh seminggu kemudian.
Oleh FAIZAL SAHARUNI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment