Wednesday, 16 November 2011

Faizal Hussein Jadi Buruan!!


KUALA LUMPUR: Selepas filem Bunohan ditayangkan di Amerika Utara dan bakal menembusi pasaran antarabangsa, nama Faizal Hussein, 44, menjadi sebutan para media tempatan dan luar negara.
Filem yang turut dilakonkan oleh Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Pekin Ibrahim, Nam Ron dan Bront Palarae itu ditayangkan di Amerika Utara dalam sebuah tayangan perdana sempena 'Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011'.




Menurut Faizal, melalui filem itu juga dia mendapat pendedahan dan pengalaman baru termasuk akan ditemubual oleh media dari luar negara iaitu program hiburan E! News di saluran E! dan saluran Discovery.
“Saya juga digelar sebagai ‘Jack Palance Malaysia’ dalam sebuah ulasan tentang Bunohan dari portal variety.com.
“Impak yang diberikan oleh filem Bunohan arahan Dain Said memberikan komen yang bagus dan saya melihat fenomena di mana pembikin filem tempatan semakin meningkat naik.
“Paling penting adalah kandungan filem itu sendiri,” katanya dalam satu sidang media pelancaran filem Khon Malay, Taiko dan 1945 di Restoran Platinum Terrasse, Jalan Genting Klang, di sini, Isnin.
Bercerita lanjut tentang reaksinya apabila bakal berlakon dalam ketiga-tiga filem tersebut, Faizal akui bersyukur apabila peminatnya masih dahagakan lakonan antagonisnya.
“Saya sudah lama bersahabat dengan pengarah filem Imran Ismail yang akan mengarahkan filem Khon Malay dan 1945. Jadi, kami selalu berbincang idea dan saya tidak menunggu tawaran ini sebaliknya dipilih kerana ia merupakan hasil kolaborasi saya dengan Imran.
“Dia pernah membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan hasilnya peminat Faizal Hussein menyukai saya melakonkan watak jahat.
“Saya juga tidak menyangka masih ada peminat yang ingin menonton pelakon tua seperti saya sebagai hero. Rezeki ini juga hasil kepercayaan yang diberikan oleh pengarah filem,” katanya lagi yang turut berlakon dalam telefilem Anak untuk Astro terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang dimiliki oleh sepupunya, pelakon Rosyam Nor.
Faizal akui pernah berehat daripada industri perfileman pada tahun 1995 dan menumpukan kepada lakonan drama selama 5 tahun. Kemudian dia kembali ke layar perak pada tahun 2000.
“Apabila saya berlakon filem semula, saya selesa memilih watak antagonis seperti dalam filem KL Menjerit, Leftenan Adnan dan Janji Diana untuk memberikan kelainan memandangkan koleksi filem saya sebelum itu tidak sehebat mana.
“Jadi, untuk filem terbaru ini, saya mahu lihat seramai mana peminat Faizal Hussein yang akan datang menonton filem saya dengan watak yang bagaimana,” katanya yang akan turut berlakon di samping isterinya, pelakon Suhaila dan dua anaknya, Fazryn, 6, dan Fazrick, 3, menerusi filem Khon Malay.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Faizal berjudul Abu Ya sedang ditayangkan di pawagam tempatan dan filem Bunohan akan berada di pawagam pada Mac 2012.
 

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...