Gambar Aaron Aziz bersma isteri dan anaknya.
SHAH ALAM: Pelakon kacak, Aaron Aziz menolak anggapan sesetengah pihak dia bersikap mata duitan kerana membolot semua tawaran berlakon yang diberikan walaupun filem itu tidak sesuai dengannya.
Aaron berkata, meskipun terdapat beberapa filem lakonannya gagal mendapat perhatian di pawagam, dia sebenarnya tidak melihat kepada tema sesebuah filem itu sebaliknya kepada watak yang diberikan.
"Saya akui ada sesetengah filem temanya tidak bersesuaian tetapi saya lebih memberi tumpuan kepada watak yang ditawarkan kepada saya.
"Soal membolot dan mata duitan tidak sepatutnya timbul kerana ini adalah punca rezeki saya dan seharusnya saya bekerja kuat untuk memberi nafkah kepada keluarga.
"Bagaimanapun saya akui ada sesetengah filem temanya tidak bersesuaian tetapi tumpuan saya adalah kepada watak yang ditawarkan sama ada sesuai atau pun tidak," ujarnya kepada mStar Online.
Antara filem lakonan Aaron sepanjang 2010 dan 2011 ialah Syyhh... Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka, 2 Alam, Datin Ghairah, KL Gangster dan Ombak Rindu.
Mengikut rekod Finas, filem lakonan Aaron iaitu 2 Alam mencatat kutipan paling rendah iaitu sebanyak RM440,000 sementara filem KL Gangster meraih kutipan RM11.74 juta.
Dalam pada itu, Aaron berkata, dia akan lebih selektif terhadap filem dan watak yang ditawarkan kepadanya selepas ini kerana ingin memastikan karya tersebut berkualiti dan dapat diterima penonton.
Ujarnya, itu bukan bermakna dia sudah mulai “demand” atau berlagak tetapi tidak mahu peminat menuduhnya sebagai artis ‘tangkap muat’.
"Kegagalan sesebuah filem bukan dapat dijangka kerana kita sebagai pelakon telah melakukan terbaik dalam kerjaya kita tetapi saya ingin lebih selektif dan berhati-hati sebelum menerima sesuatu watak," ujarnya.
Sementara itu, Aaron yang bakal berangkat ke Tokyo, Jepun pada 10 Januari ini berkata, dia bakal muncul dengan filem terbarunya iaitu KL Gangster 2 dan Taikon pada tahun ini.
Selain itu, Aaron memberitahu dia baru sahaja menerima tawaran berlakon filem berjudul Kerat 14 bersama pelakon Siti Saleha dan akan menjalani penggambaran dalam masa terdekat.
"Kerat 14 adalah sebuah karya yang baik dan saya cukup teruja untuk memulakan penggambaran dan berharap hasilnya disukai oleh penggemar filem tempatan.
Dalam perkembangan lain, Aaron cukup gembira dan bersyukur dengan kejayaan filem Ombak Rindu dengan kutipan melebihi RM11 juta dan terkejut dengan sambutan peminat terhadap karya Osman Ali itu.
"Kadang-kadang sampai ada orang panggil saya Hariz dan sambutan luar biasa ini cukup merubah kerjaya seni saya," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment