Monday, 2 January 2012
Ash dan Sherry Merlis Selamat Diijabkabulkan
Ash dan Sherry kini sah bergelar suami isteri. Foto ihsan daripada ROTIKAYA.COM
PETALING JAYA: Selepas enam bulan bercinta, akhirnya vokalis kumpulan Gabba Gabba iaitu Ash atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid, akhirnya sah bergelar suami kepada pelakon Sherry Merlis, pada pagi Ahad.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur dan tiada sebarang majlis persandingan dilakukan untuk kedua-dua belah pihak.
Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Sherry iaitu Wan Zainal Abidin kira-kira pukul 10 pagi dengan disaksikan oleh 100 orang tetamu.
Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan sejumlah wang hantaran yang dirahsiakan dan mas kahwin berjumlah RM200 beserta tiga dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung, cincin dan manisan.
Ia dibalas lima dulang hantaran oleh pihak perempuan yang terdiri daripada sirih junjung, sebuah kitab Al-Quran, manisan, cincin dan kek.
Menurut Ash, 29, dia bersyukur kerana akhirnya pernikahan mereka berjalan dengan lancar dan berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat.
"Saya berdoa hubungan kami kekal selamanya. memandangkan ini merupakan perkahwinan kedua saya dan Sherry, kami memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang resepsi, sebaliknya hanya majlis nikah diikuti dengan jamuan kecil-kecilan.
"Walaupun jarak usia kami agak jauh, Alhamdulillah, masing-masing boleh memahami sesama sendiri. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Sherry ialah keperibadiannya dan paling penting, matanya," kata Ash yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Tambah Ash, selain mengusahakan syarikat rakamannya sendiri, Babugusto Records, dia dan Sherry turut merancang untuk membuka sebuah perniagaan produksi.
Pada majlis nikah itu, pasangan merpati sejoli itu mengenakan busana rekaan Lagenda Dan Rizal inspiration manakal wajah Sherry disolek oleh Asmara Andaman.
Pasangan ini mula berkenalan apabila sama-sama terlibat dalam produksi drama Cita dan Cinta, arahan Azma Aizal Yusoof yang diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd.
Sebelum ini Ash pernah mendirikan rumahtangga dengan pengacara Melodi, Khaidirah Abu Zahar atau Dira, 28, dan telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Tengku Anggun Deandra, 3.
Begitu juga dengan Sherry, 40, yang pernah berumah tangga sebelum ini dan memiliki dua orang anak iaitu Habib Daniel, 18, dan Harith Daniel, 17, hasil perkahwinannya dengan Esma Daniel.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment