Tahap kesihatan Azean Irdawaty semakin teruk dan kritikal.
PETALING JAYA – Pelakon Azean Irdawaty merayu kepada peminat-peminatnya untuk ikhlas memberikan ‘hadiah’ kepadanya sempena menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-62 semalam dengan menunaikan solat hajat untuk dirinya.
Menurut laporan mStar Online, Azean berkata, keadaan diri dan kesihatannya bertambah teruk dan semakin kritikal akibat penyakit Lymphedema.
Penyakit yang dialaminya itu adalah kesan akibat dari melakukan pembedahan membuang 16 kelenjar yang dijalankan oleh pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.
“Syukur Alhamdulillah, hari ini (Isnin) saya sudah 62 tahun. Saya nak minta ‘hadiah’ sempena hari lahir saya. Boleh tak panggil orang-orang masjid buat solat hajat minta saya sembuh,” kata Azean dalam kiriman pesanan ringkasnya (SMS).
Gambar Azean Irdawaty bersama keluarga.
Selain itu, Azean juga memberitahu tahap kesihatannya semakin teruk apabila sekarang dia mengalami kesakitan yang amat teruk pada tulang belakangnya serta kakinya semakin kebas dan tidak berasa apa-apa.
Malah, Azean juga kerap berasa panas yang membuatkan dirinya semakin tertekan dengan situasi yang dihadapi sekarang.
Oleh kerana itu, dia memohon dan berharap agar orang ramai sanggup mendoakan dan melakukan solat hajat supaya keadaan kesihatannya kembali stabil dan normal.
“Saya rasa panasnya macam api dalam daging. Azab rasanya. Tolonglah saya (menunaikan solat hajat),” Azean memohon.
Oleh: NAIMAH SHAARI
0 comments:
Post a Comment