Sunday, 15 April 2012

Luka Di Hati Miera Leyana Masih Berdarah



HATI mana yang tidak terguris apabila segala rasa cinta dan sayang dicurahkan kepada kekasih hati dipersiakan. Pelakon muda sedang mencipta nama, Miera Leyana Kasmi atau Miera Liyana, 19, cukup terluka apabila cintanya dengan pelakon Shahz Jaszle atau nama sebenar, Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin putus, tujuh bulan lalu.

Walaupun enggan mengulas apa sebenarnya yang berlaku, tetapi menerusi penjelasan dibuat Miera sebelum ini, seakan mengetahui bahawa hati dan perasaannya dipermainkan. Jika tidak, mana mungkin gadis bertubuh lampai itu menjadi begitu marah setiap kali menjawab soalan perihal hubungan cintanya bersama Shahz Jaszle.

Hadir di sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad baru-baru ini, Miera yang mula membabitkan diri dalam bidang lakonan seawal usia 15 tahun, kelihatan agak tenang berbanding sebelum ini. Katanya, dia sudah boleh menerima kenyataan.

Di sebalik rasa kecewa dan marah sebelum ini, akui Miera, sebenarnya kini baru dia sedar segala terjadi ada rahmatnya. Peristiwa dilalui dijadikan pengalaman untuk mengenali sisi sebenar lelaki.

Ia boleh dijadikan bekalan untuk lebih berhati-hati sebelum mengungkapkan rasa cinta. Apatah lagi dia masih muda dan banyak lagi perkara membabitkan soal hidup yang perlu dilalui untuk dipelajari.

Akuinya, soal marah kini sudah tiada tetapi kesan luka akibat dikecewakan akan terus kekal. Begitupun, dalam berusaha berhadapan dengan situasi itu, hatinya sekali lagi dicuit. Kali ini pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Luna Fantasiku dan Apa Itu Cinta, bakal bergandingan dengan orang yang melukakan hatinya dalam drama terbaru terbitan Astro, Harapan.

“Sewaktu tawaran datang pihak produksi memberitahu mereka belum bertemu dengan hero yang akan digandingkan bersama saya dalam drama 26 episod itu, sehinggalah selepas menandatangani kontrak, mereka memberitahu bahawa saya bakal digandingkan dengan Shahz Jaszle.

“Mendengarkan namanya, hati saya berderau. Pelbagai soalan bermain di kepala tetapi saya sedar dunia hiburan di Malaysia kecil, hendak lari ke mana pun pasti akan bertemu. Saya harus bersikap profesional kerana ini kerja. Mahu atau tidak, saya harus lalui juga,” katanya.

Kata Miera, sebagai pelakon dia sangat mementingkan mutu produksi terutama jalan cerita menarik. Atas alasan itu, dia menerima tawaran membintangi Harapan. Sayang sekiranya watak bagus itu ditolak hanya kerana mahu melayan jiwa rawan, sedangkan watak yang bagus tidak selalu datang kepada pelakon sepertinya.

“Selepas menandatangani kontrak, saya tidak mahu melayan segala bisik hati. Segala pengalaman yang dilalui sewaktu bersama dulu harus dilupakan dan berfikir secara positif. Sebenarnya, segala pahit manis yang pernah kami lalui bersama boleh digunakan untuk menjayakan drama ini.

“Kami akan memegang watak sebagai pasangan kekasih. Pastinya pelbagai plot ada dalam skrip drama terbabit termasuklah saat manis berkasih, marah dan bergaduh. Semuanya ada. Jadi segala perasaan yang ada dalam diri saya terhadapnya boleh saya salurkan untuk watak bakal dijayakan.

“Itu juga harapan saya, agar apabila penonton menyaksikan Harapan nanti, mereka melihat kami berjaya membawakan watak masing-masing. Saya tidak mahu mewujudkan rasa kekok apabila bekerja dengan bekas kekasih. Itu bukan prinsip saya. Apabila bekerja, saya akan bekerja bersungguh-sungguh. Soal peribadi harus diletak ke tepi,” katanya.

Kemungkinan cinta yang putus kembali bertaut apabila kembali menjayakan Harapan, Miera melihatnya dari sudut positif dan tidak mahu memberikan komen sehingga boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

Jelasnya, soal jodoh dan pertemuan ketentuan Tuhan. Dia tidak berani hendak mengatakan perkara itu tidak berlaku kerana bimbang jika hati berubah nanti, dikatakan tepuk air dalam dulang, terpercik ke muka sendiri.

“Pengalaman bersamanya banyak mengajar saya dan seharusnya saya berterima kasih kepadanya atas pengalaman itu. Sekarang saya tidak mahu fikir soal cinta. Bohonglah kalau saya kata tidak sedih dengan apa yang terjadi.

“Kadang-kadang hati terasa sunyi tanpa insan bergelar kekasih. Tapi saya masih muda, memiliki kekasih bukanlah keutamaan sebaliknya saya mahu fokus kepada kerjaya terlebih dulu. Satu lagi perkara yang saya belajar dari semua ini, jangan kita mencari cinta sebaliknya biarlah ia datang dengan sendiri,” katanya.





Tonton dulu lakonan saya

SEJAK awal kemunculan mewarnai industri perfileman tempatan, Miera terkenal dengan imej seksi. Melihat aksi dan gambar-gambar yang dipaparkan media, mampu membuatkan ramai hati lelaki bergetar.

Melihat perkembangan itu, ada pihak menyatakan seksi dan Miera sangat sinonim. Begitupun, gadis kelahirn Johor Bahru, Johor ini, dia tidak mahu peminat mengingatinya kerana imej ditampilkan sebaliknya mengharapkan bakatnya lebih dilihat orang.

“Gambar seksi yang tersebar sebelum ini tidak disengajakan. Mengenai penampilan saya pula, sebenarnya ia perkara normal bagi orang muda seperti saya yang gemar berfesyen. Begitupun, saya tidak mahulah kerana penampilan dan kehidupan sosial saya lebih diberikan keutamaan.

“Sebagai insan seni, saya tahu yang saya hak milik masyarakat, tetapi dalam waktu sama saya tidak mahu sehingga orang berkata saya sengaja mencipta kontroversi, beraksi seksi semata-mata mahu mencari populariti. Pesan saya, tonton dulu filem atau lakonan saya.

“Saya lebih suka sekiranya orang mengkritik mengenai kerjaya lakonan saya. Kalau ada orang kata saya berlakon macam kayu pun, saya terima kerana itu lebih baik kerana saya tahu kelemahan saya dan boleh diperbaiki,” katanya.

Tambah Miera lagi, sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan, dia bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pengarah prolifik dan terbaik. Seperti contoh, filem pertamanya Apokalips diarahkan Mamat Khalid. Pengarah itu juga turut melamarnya untuk membintangi Rentaz sebagai pelakon utama bergandingan dengan aktor hebat seperti Awie dan Khir Rahman.

“Selain itu filem saya, Jangan Pandang Pandang arahan Ahmad Idham sedang ditayangkan, saya juga turut terbabit dalam filem Cinta Atas Tar dan Pecah. Terbaru, saya akan memulakan penggambaran filem Tingkat 4 diterbitkan KRU Studios.

“Sekiranya benar saya hanya bersandarkan kepada kontroversi, imej seksi dan bukan bakat, tidak mungkin saya akan diambil berlakon. Tidak mungkin juga pengarah hebat seperti yang saya nyatakan tadi akan memberi ruang untuk saya mengenengahkan bakat yang ada,” katanya.

Cerita Miera lagi, dia terjun ke bidang lakonan kerana minat dan bukan semata-mata sebagai sumber pendapatan. Kerana itu dia tidak pernah meletak harga apabila diberikan satu-satu tawaran sebaliknya perkara diambil kira adalah skrip dan pengarah yang bagus dan mampu membimbingnya menjadi seorang pelakon yang baik.

“Walaupun saya seorang pelakon tetapi sekiranya berada di lokasi, saya akan cuba belajar perkara lain terutama dari sudut teknikal. Ia penting sebenarnya kerana ilmu yang ada mampu membentuk saya menjadi yang terbaik. Tambahan pula sebelum ini saya sudah berjanji dengan kedua ibu bapa saya. Saya tidak mahu sambung belajar kerana mahu mendalami bidang lakonan.

“Mereka membenarkan tetapi dengan syarat saya harus buktikan dengan menjadi pelakon yang benar-benar bagus. Kerana itu apabila bekerja saya sangat serius kerana tidak mahu mengecewakan kedua ibu bapa yang sebelum ini banyak beralah dengan kehendak saya,” katanya.

Oleh: Rudy Imran Shamsudin

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...