Wednesday, 15 August 2012

Daphne Iking Jahit Baju Raya Sendiri

IMAN DANIELLA IKING AZMI kini berusia tujuh bulan. Daphne menjahit sendiri baju raya dia dan anak-anaknya.

KEDATANGAN Aidilfitri tahun ini sungguh bermakna buat Daphne Eleanor Mozes Iking atau nama Islamnya Dahlia Daphne Eleanor M Iking.

Tiada istilah kekok untuk meraikan hari kebesaran umat Islam itu meskipun tahun ini merupakan tahun kedua dia menyambut Aidilfitri sebagai seorang Muslim selepas memeluk agama Islam pada Disember 2010.

Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan pengurus dan juga rakan perniagaannya, Azmi Abdul Rahman pada 8 Januari tahun lalu, ibu kepada Isobel Daniella, 5, anak hasil daripada perkahwinannya sebelum ini dan juga Iman Daniella Iking Azmi, tujuh bulan, buah cintanya bersama Azmi membuatkan Aidilfitri Daphne lebih bermakna.

"Tahun ini sangat istimewa. Tahun lalu saya meraikan Aidilfitri di Bangkok kerana urusan kerja bersama suami dan ketika itu saya sedang mengandungkan Iman.

"Jadi, tahun ini kali pertama saya akan meraikan Aidilfitri bersama Iman walaupun saya berkemungkinan besar hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya pertama kerana urusan kerja di Vietnam," ujarnya yang mungkin pulang ke kampung halaman suaminya, di Kuala Kangsar, Perak.

Walaupun sibuk bekerja, kata Daphne, 34, dia tidak sabar menanti kedatangan Aidilfitri kerana pengalaman menunaikan solat tarawih bersama suami dan berpuasa sungguh indah.

"Sebenarnya tahun lalu saya tidak merasai sangat suasana raya kerana mengandungkan Iman dan banyak hari tidak boleh berpuasa kerana alahan.

"Berbeza dengan tahun ini, saya dapat merasai sepenuhnya nikmat berpuasa dan menunaikan solat tarawih bersama suami.

"Malah, anak sulung saya, Isobel juga sudah mula belajar berpuasa dan bersolat secara perlahan-lahan, perkembangannya membuatkan saya cukup gembira," tuturnya.

Sedondon

Sungguhpun sibuk dengan kerja, pelakon filem Belukar itu tetap ligat membuat persiapan raya. Membuat tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) mencari pakaian raya untuk dirinya dan keluarga menjadi agendanya tahun ini.

Bagaimanapun, disebabkan tiada pakaian yang berjaya memikat hatinya dan sukar untuk mencari warna mustard Afrika yang merupakan warna tema buat Daphne sekeluarga, pengacara program Bella itu nekad menjahit pakaiannya sendiri.

"Saya dan suami sudah ronda satu Jalan TAR, tiada satu yang sesuai dan mengikut warna tema kami sekeluarga tahun ini. Jadi, saya beli kain dan jahit sendiri.

"Setiap malam sebelum tidur, saya akan jahit perlahan-lahan, kecuali baju suami saya, dia akan menghantarnya kepada tukang jahitnya sendiri.

"Memang nampak klise memilih pakaian sedondon, tetapi saya inginkan sebuah gambar keluarga yang cantik. Seronok juga sekali-sekala berpakaian sedondon," katanya.

Akui Daphne, anak sulungnya cukup menghargai jika ibunya menjahitkan sendiri pakaiannya.

"Isobel berbeza dengan saya, dia cukup suka jika saya jahitkan pakaiannya, baginya ibunya seorang yang cukup hebat sebab pandai menjahit.

"Berbeza pula dengan saya sewaktu kecil, kehidupan susah membuatkan ibu saya menjahitkan pakaian saya sendiri, tetapi saya selalu sangkakan ibu saya kedekut kerana tidak mahu membeli pakaian di kedai.

"Selepas menjadi seorang ibu, baru saya tahu perasaan ibu saya ketika menjahitkan pakaian untuk anaknya sendiri. Walaupun penat, tetapi saya cukup bahagia apabila melihat hasil tangan saya tersarung di badan Isobel dan dia memuji pakaian itu cantik," luah wanita berketurunan Kadazan Dusun itu.

Beza budaya

Daphne sebenarnya sering meraikan Aidilfitri di kampung halamannya di Penampang, Sabah, sebelum dia memeluk agama Islam lagi.

Meskipun ketika itu, Daphne masih seorang yang beragama Kristian Katolik, beritahunya, ramai saudara-mara di kampung halamannya beragama Islam dan mereka sering meraikan Aidilfitri bersama.

"Aidilfitri bukan perayaan yang asing untuk saya sejak dahulu lagi. Saudara-mara dan rakan-rakan saya ramai yang beragama Islam.

"Jadi, saya selalu sambut raya setiap tahun. Cuma apabila memeluk agama Islam, sambutan itu lebih bermakna kerana saya lebih memahami erti sambutan Aidilfitri itu sendiri," ucapnya.

Tambahnya, jika pulang ke kampung halamannya apa sahaja perayaan akan diraikan bersama, cuma terdapat meja yang akan membezakan hidangan keluarga yang beragama Islam dan mereka yang bukan beragama Islam.

"Sejak daripada kecil lagi, keluarga saya cukup menghormati agama dan budaya lain. Kami selalu meraikan setiap perayaan bersama, jadi apabila saya memeluk agama Islam bukan satu masalah untuk mereka meraikan Aidilfitri bersama saya sekeluarga," luahnya.

Bercakap mengenai rumah terbuka, kata Daphne, dia mungkin membuat rumah terbuka, tetapi hanya untuk keluarga dan teman rapatnya sahaja.

"Mungkin buat rumah terbuka untuk keluarga dan rakan-rakan rapat yang berkumpul di Kuala Lumpur. Bab masakan saya akan serahkan kepada suami sebab dia lebih handal memasak daripada saya," kata Daphne sambil tersenyum memandang suaminya.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...