Sunday, 12 August 2012

Hidup Scha Al Yahya Lebih Teratur Selepas Menjadi Isteri

Scha Al Yahya berasa tenang menjadi isteri Awal.



PETALING JAYA: Alam perkahwinan yang dilalui aktres Scha Al Yahya sejak Mei lalu membuatkan dia lebih tenang dan mempunyai rutin hidup yang teratur.

Scha atau nama sebenar Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, perubahan yang dialami selepas tiga bulan bergelar isteri kepada pengacara Awal Ashaari menjadikan dia insan yang lebih baik dan bertanggungjawab.

“Selepas tiga bulan menjadi isteri Awal, saya dapat rasai satu perubahan besar dalam diri berbanding zaman bujang dulu. Saya semakin tenang dan bahagia dengan kehidupan hari ini.

“Sebelum ini, saya hanya jalani hidup tanpa rutin dan tanggungjawab tertentu tetapi alam perkahwinan ini banyak mengajar saya mengenai perancangan dan disiplin,” katanya kepada mStar Online.

Pasangan itu bernikah pada 4 Mei lalu di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dekat sini.

Aktres yang mencipta nama menerusi siri Awan Dania ini berkata, status isteri orang yang digalasnya turut membuatkan dia berasa lebih selamat dan tenteram.

Scha dan suaminya, Awal ketika menghadiri sebuah majlis berbuka puasa, baru-baru ini.


“Mungkin inilah kuasa sesebuah perkahwinan. Selain ketenangan, saya akui berasa lebih selamat kerana menggalas status isteri orang.

“Saya dan Awal berkongsi dalam segenap perkara dan tiada apa yang perlu disorokkan, sekali gus menjadikan ikatan kami lebih kuat. Malah, ia menjadikan kami lebih mengenali satu sama lain,” jelasnya yang belum memikirkan soal zuriat.

Ditanya mengenai pengalaman pertama menyambut Ramadan sebagai isteri, Scha berkata, dia hanya terlibat dalam komitmen lakonan pada minggu pertama puasa saja.

“Saya hanya berlakon pada minggu pertama Ramadan. Untuk baki bulan puasa ini, saya tumpukan perhatian pada perniagaan kios Schapoholic yang menjual pakaian dan aksesori wanita di samping suami.

“Selebihnya, saya hanya memenuhi undangan berbuka puasa. Apa-apa pun, keutamaan semestinya pada hal ehwal suami dan rumah tangga,” kongsinya yang baru menamatkan penggambaran filem Dampak.

Oleh WAHIDUZZAMAN

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...