0

Kenapa pelakon Lydiawati buka tudung ??

                 Pelakon ini mengenakan skaf jaring penuhi tawaran berlakon

KELIBAT Lydiawati yang tampil dengan skaf jaring rona putih dan bergaya ranggi dengan seluar jeans ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama Ustaz Amirul, mengundang perhatian.

Penampilan pelakon berusia 47 tahun itu kelihatan berbeza benar dengan gayanya sebelum ini yang bertudung litup. Serta merta pelbagai soalan menerjah di benar fikiran, malah tidak sabar rasanya untuk dilontarkan kepada pelakon yang pernah digandingkan dengan Rosyam Nor dalam filem Suami, Isteri dan .... itu.


Ke manakah pergi tudungnya? Adakah Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon mengubah penampilan akibat kegagalan rumah tangga dengan lelaki bergelar datuk kira-kira setahun lalu.

Dengan penuh hati-hati, ayat disusun agar pelakon ini tidak tersinggung. Kebimbangan segera pudar apabila ibu kepada dua cahaya mata itu menjawab pertanyaan yang dilontarkan dengan senyuman.

Dia berpakaian sedemikian kerana membawa karakter ibu kepada pelakon Shaheizy Sam untuk filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul 8 Jam yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di Chow Kit.

Malah ketika di temu bual ini, dia bersama seorang lagi pelakon wanita yang juga sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan iaitu Kuna terus bergegas ke lokasi penggambaran.
Katanya, apa saja yang ingin diperkatakan orang terhadap dirinya, itu hak masing-masing. Yang penting, Tuhan mengetahui niatnya.


“Saya tidak peduli apa pun yang orang ingin perkataan mengenai penampilan saya. Bagi saya, hati budi manusia tidak seharusnya diukur dari penampilan seseorang kerana pokok pangkal adalah hati kita. Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting saya tahu apa yang saya buat dan tuhan juga tahu saya lakukan semua ini kerana mencari rezeki yang halal.

“Sebagai manusia kita tidak boleh cepat menilai kerana tentu ada sebab kenapa seseorang itu buat sesuatu. Ketika filem ini ditawarkan kepada saya, Ahmad Idham bertanya terlebih dulu sama ada saya sanggup ubah penampilan atau tidak. Bagi saya ia tidak mendatangkan masalah kerana saya buat disebabkan kerja.

“Saya bergaya begini bukan disebabkan kegagalan rumah tangga kerana gaya ini hanyalah untuk sementara waktu. Selepas ini saya akan kembali dengan imej dulu, mengikut trend semasa,” kata Lydiawati yang turut memegang watak seorang ibu dalam drama bersiri Ustaz Amirul yang akan menemui penonton pada 7 Januari depan.

Seiring usianya, aktres yang hampir empat tahun menyepi dari sebarang aktiviti seni ini berkata, dia harus akur dengan watak-watak yang diberikan memandangkan usianya kini tidak lagi muda.

Katanya, dia menerima apa saja tawaran asalkan mendatang rezeki supaya dapat membesarkan dua cahaya mata yang sedang membesar iaitu Nor Munira, 25 , dan Puteri Batrisya, 8 tahun.

Sebelum ini dia terpaksa membataskan aktiviti seninya kerana anak-anak masih kecil. Oleh kerana anak sulungnya kini boleh diharapkan, Lydiawati berasa lebih lega untuk keluar mencari rezeki.

“Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi hanya berehat seketika kerana ketika itu anak-anak masih kecil. Selain membesarkan anak-anak, saya juga berehat kerana menuntut ilmu. Sebagai manusia, saya juga ada kekurangan. Sepanjang empat tahun berehat saya gunakan kesempatan itu mengikuti kelas pengajian al-Quran bersama dengan anak-anak sekali.

“Disebabkan anak-anak sudah boleh berdikari, saya kembali aktif sejak hujung tahun lalu. Setakat ini alhamdulillah, rezeki belum pernah putus. bagaimanapun, pada usia begini saya mengakui tidak boleh terlalu memilih. Lagipun pada usia sekarang, hanya watak ibu saja yang sesuai untuk saya,” katanya yang mengakui gembira dengan kehidupan dilalui sekarang.  
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
0

Top 10 Artis Bollywood Yang Paling Berpengaruh Sepanjang Tahun 2010

INDUSTRI perfileman Bollywood dipenuhi lautan bakat besar, namun hanya segelintir kecil yang berjaya memecah gelombang bergelora untuk memahat nama pada kedudukan selesa di layar perak.

Bersilih ganti bakat baru muncul sekali gus mencipta kejayaan luar biasa yang membanggakan Bollywood namun nama ini kekal dalam senarai bintang paling cemerlang sepanjang 2010.

Pencapaian gemilang yang meletakkan mereka dalam senarai Top 5 bintang Bollywood paling berpengaruh sepanjang 2010 impak daripada populariti, rekod filem pecah panggung serta konsistensi persembahan di layar lebar.

Amir Khan


AKTOR berkaliber ini mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon lelaki berwibawa menerusi persembahannya dalam filem terbaru, Three Idiots yang mencatat kutipan pecah panggung.
Saban tahun Amir meyakinkan peminatnya dengan himpunan filem terbaik dan mampu mencipta fenomena, selain memiliki daya tarikan komersial.

Dikenali sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, Amir meletakkan sepenuh kesungguhan dalam setiap peranan yang dimainkannya untuk muncul meyakinkan di layar perak.

Shah Rukh Khan
 

DIKENALI sebagai King Khan, Shah Rukh Khan diakui antara permata berharga pernah dilahirkan oleh industri perfileman Bollywood.

Popularitinya mencetuskan histeria kepada pelbagai generasi pencinta filem Hindi, malah kemampuannya terus diasah dalam setiap produksi yang dibintanginya.
Filem terbarunya, My Name Is Khan muncul sebagai filem blockbuster sepanjang zaman selain mendapat ulasan terbaik dalam negara dan di luar negara.

Filem itu dialih suara dalam pelbagai bahasa untuk ditayangkan di negara asing. Mungkin ada yang melihat dirinya bukan aktor versatil namun karismanya di layar perak membuatkan Shah Rukh Khan selesa dalam kelas tersendiri.

Akshay Kumar



KARIER lakonannya berputar hampir dua dekad dan Akshay Kumar diakui antara aktor versatil dalam industri perfileman Bollywood.

Selain filem aksi, karisma lakonannya juga dipertontonkan dalam genre drama dan komedi. Kunci kejayaan Akshay adalah kerja keras, selain keberaniannya mencipta kelainan dalam setiap produksi yang dijayakan.

Akshay juga diakui sebagai seorang aktor yang berani mengambil risiko dan kini diakui sebagai raja filem komedi sebenar menerusi lakonannya dalam filem seperti Khatta Meetha dan Houseful.

Ajay Devgan



PENDAKIANNYA ke puncak populariti tidak terlalu pantas tetapi Ajay Devgan bertahan dalam senarai aktor hebat Bollywood.

Dua filem terbarunya, Golmal 3 dan Once Upon A Time In Mumbai mencatat kejayaan luar biasa di panggung. Dia antara contoh artis yang tidak terlalu bergantung kepada publisiti dan pengiktirafan.

Tanpa kedua-dua elemen itu, Ajay membuktikan keampuhan bakatnya yang berterusan untuk meletakkannya dalam kelompok terbaik Bollywood.

Salman Khan



BRAT Khan itu gelaran diberikan kepadanya. Berdekad dalam industri, biarpun pernah cuba dijatuhkan oleh kritikan yang menghentam namun Salman Khan akan bingkas bangkit umpama juara.

Filem lakonannya sentiasa mencatat kutipan tertinggi pada hari pembukaan dan namanya terus popular di India dan luar negara.

Dua filem terbarunya, Wanted dan Dabaang mendapat sambutan luar biasa. Salman juga memiliki himpunan filem besar yang bakal menemui penonton untuk dua tahun akan datang.

Filem My Love Story lakonannya bersama Kareena Kapoor adalah antara filem paling dinanti pada 2011.

TOP 5 AKTRES TERBAIK

Deepika Padukone:



EMPAT filem lakonannya menemui penonton pada 2010 dna sebuah lagi, Khelein Hum Jee Jaan Sey menyusul pada bulan ini.

Filem Housefull menerima sambutan memberangsangkan manakala Karthik mendapat ulasan yang positif selain mengaut kutipan yang selesa.

Mungkin Lafangey Parindey tidak mencatat kutipan pecah panggung tetapi lakonannya menerima pujian daripada pengkritik.

Deepika baru tiga tahun menembusi industri perfileman, namun sudah meraih kepercayaan untuk menonjolkan kekuatan bakatnya selain membintangi filem komersial yang mendapat sambutan hebat.


Kareena Kapoor



MENGAKUI dirinya sebagai aktres nombor satu, keyakinan Kareena Kapoor meletakkan namanya di hati peminat selain menjadi pilihan penerbit dan pengarah filem.

Dilahirkan dalam keluarga berpengaruh dalam industri perfileman Bollywood, Kareena ialah sepupu kepada Ranbir Kapoor, pelakon yang sedang mencipta nama ketika ini.

Tidak meniti jalan pintas, Kareena menempuh laluan berliku untuk membuktikan kekuatan bakatnya. Kareena membuktikan kehebatannya membawakan watak pelacur dalam Chameli.

Dari segi komersial, Kareena mempunyai barisan filem yang mendapat sambutan hangat termasuk Golmaal 3.

Katrina Kaif



PERNAH mencuba untuk menembusi industri perfileman menerusi filem Boom, namanya bagaimanapun menyepi. Katrina Kaif kembali meraih perhatian apabila beraksi di samping Salman Khan.

Biarpun tidak fasih berbahasa Hindi, Katrina tetap menjadi pilihan pengarah. Dia dilabel sebagai maskot bertuah kerana hampir kesemua filem lakonannya mencatat kejayaan.

Gandingannya bersama Salman dan Akhsay (Kumar) sering membawa tuah kepada penerbit filem. Katrina bekerja keras untuk menggilap pertuturannya selain bersungguh dalam setiap filem lakonannya.

Katrina diangkat sebagai primadona filem Bollywood yang sedang mencipta fenomena.

Aishwarya Rai Bachchan






DIKHABARKAN sebagai aktres Bollywood dengan pendapatan tertinggi, Aishwarya Rai ialah wajah sinonim dengan festival filem antarabangsa selain menjayakan kempen iklan di peringkat kebangsaan dan luar negara.


Dia ialah wajah antarabangsa India kerana pernah membintangi filem di Britain dan Amerika Syarikat. Aishwarya pernah muncul dalam program bual bicara bersama Oprah Winfrey selain menerima pelbagai pengiktirafan atas platform berbeza.

Dia ialah ikon dalam industri perfileman Bollywood, penari terbaik selain dikenali sebagai aktres berkaliber. Empat filem lakonannya ditayangkan pada 2010 iaitu Action Replayy, Robot, Raavan dan Guzaarish, kedua terbanyak selepas Deepika.

Kajol




DIA ialah aktres yang disenangi umum, justeru perkahwinan dan gelaran ibu tidak sesekali memadamkan populariti serta karisma Kajol di layar perak.
Kajol memecah kepercayaan karut bahawa aktres Bollywood hanya mampu mencipta kecemerlangan ketika sebelum berkahwin.

Isteri kepada Ajay Devgan itu membuktikan perkahwinan dan menjadi ibu tidak menjejaskan mutu persembahannya sebagai pelakon.

Kajol seorang yang selektif dan hanya menjayakan beberapa filem setahun tetapi setiap satu lakonannya akan mencatat kutipan pecah panggung.

Tiada aktres lain yang mampu mencapai populariti seperti yang pernah diraihnya. Tahun ini, Kajol cemerlang dengan dua filem iaitu My Name Is Khan dan We Are Family.  
Oleh:Zul Husni Abdul Hamid
0

A.Aida Tuntut Nafkah Anak Daripada Ameng RM85,000

A.Aida bersama peguamnya, Norazmi Mohd Ariff hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini bagi kes tuntutan nafkah anak-anak dari suaminya, bekas penyanyi Kumpulan Spring, Ameng.


KUALA LUMPUR: Produser dan dramatis 90-an, A. Aida memfailkan permohonan bagi menuntut tunggakan nafkah dua orang anak bernilai RM85,000 daripada bekas suaminya, Ameng yang merupakan vokalis kumpulan Spring.
A. Aida atau nama sebenarnya Zaida Awang, 40, mendakwa Ameng gagal menjelaskan nafkah anak selama 85 bulan, iaitu sejak mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 17 Disember 2003.
Pasangan tersebut berkahwin pada 1994 di Terengganu.


Semasa bercerai, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, bersetuju untuk membayar RM1,000 sebulan sebagai nafkah anak, Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu dijelaskan pada minggu pertama setiap bulan.
Produser drama Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tersebut pada 21 Disember lalu menerusi peguam-peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli.

Kes disebut untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis.
Pada prosiding itu, Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan bertanyakan mengapa permohonan itu lewat difailkan, iaitu telah melebihi tempoh enam tahun.
“Plaintif (Aida) cuba untuk memberi peluang kepada defendan (Ameng). Bagaimanapun, nafkah tidak pernah dimasukkan ke dalam akaunnya,” kata Nor Azmi.
Abdul Walid kemudiannya bertanyakan kerja defendan (yang tidak dinyatakan pada dokumen) dan Nor Azmi memaklumkan Ameng adalah seorang artis.
Selepas meneliti dokumen yang berkaitan, Abdul Walid membenarkan permohonan Aida untuk mendapatkan perintah bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Ameng mengenai kegagalannya membayar nafkah.
Prosiding kes tersebut akan berjalan di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan tarikhnya akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Aida yang mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman hadir berseorangan di mahkamah.

“Saya dah banyak kali minta (nafkah anak) daripada Ameng, tapi dia suruh saya minta dengan lelaki lain,” katanya kepada media di luar mahkamah.
Pada 1 November lalu, Ameng dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.
Dia semasa membela diri atas tuduhan itu mendakwa pertuduhan tersebut adalah konspirasi antara Aida dan Suffian untuk memalukan dirinya.
Ameng telah berkahwin lain pada 2004 dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal yang kini bersusia tiga tahun.
0

Malaysia Juara Piala AFF Suzuki AFF Buat Kali Pertama


Pasukan Malaysia meraikan kejayaan gemilang merangkul Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta di sini, Rabu. Foto AP.
JAKARTA Buat julung kalinya, skuad bola sepak Malaysia berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa balik piala kebanggaan apabila menang secara agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Rabu.
Bagaimana pun, skuad kendalian K.Rajagobal itu menerima serangan bertalu-talu daripada pasukan Garuda, namun barisan pertahanan cemerlang memainkan peranan mereka dalam menepis serangan ini.
Pasukan Indonesia nyaris mendapat gol pertama apabila pengadil memberi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mohd Sabree Mat Abu pada minit ke-18, namun sepakan yang dilakukan oleh kapten pasukan Garuda, Firman Utina berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang bijak membaca pergerakan pemain tuan rumah itu.

Pemain Malaysia meraikan kejayaan Safee Sali menjaringkan gol awal ketika menentang Indonesia pada perlawan akhir kedua, Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karni, Jakarta malam ini. Foto AP.
Kedua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan perlawanan lebih menarik selepas pasukan Indonesia lebih banyak mengatur serangan namun pujian sekali lagi harus diberi kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi kerana menyelamatkan gawang dengan percubaan berbahaya terutama sekali hantaran yang dilakukan pemain lincah Indonesia, Muhammad Ridwan.


Biarpun Malaysia jarang melakukan serangan, namun hantaran jauh Mohd Ashari Samsudin di sebelah kanan tepat kepada Mohd Safee Mohd Sali sekali gus membuat lorongan laju menggunakan kaki kirinya terus ke gawang lawan pada minit ke-53.
Gol penyamaan hadir pada minit ke-72 selepas Mohammad Nasuha merembat bola muntahan daripada penjaga gol Khairul Fahmi.
Namun pada babak akhir perlawanan, pemain pertahanan negara, Mohamad Muslim Ahmad silap membuat percaturan apabila cuba menyelamat bola dengan menanduk ke arah gol sendiri.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-2.
Sementara itu, kejayaan ini dianggap lebih manis apabila penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali turut dinobatkan penjaring terbanyak selepas mengumpul lima gol.
Manakala pemain terbaik perlawanan dimenangi oleh pemain tengah Indonesia, Firman Utina.
Pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung Ahad lalu, skuad Harimau Malaya ini telah menundukkan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
0

Irma Hasmie Tak Mahu Terserempak Dengan Nabil




KUALA LUMPUR: Pelakon Irma Hasmie,28, tidak mahu terserempak dengan bekas kekasihnya, Nabil Ahmad buat masa ini.
Irma yang ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung pada 24 Disember lalu berkata, selama ini dia tidak pernah terfikir akan kemungkinan berhadapan dengan peristiwa itu.
“Kalau boleh tak naklah terserempak tapi kalau jadi juga, saya pun tak tahu nak buat apa,” katanya.
Hubungan Irma dan Nabil terputus di tengah jalan apabila pelakon wanita itu dikatakan memperoleh beberapa bukti kononnya Nabil turut menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Malah isu hubungan itu menjadi semakin panas apabila tersebar gambar yang dikatakan milik Nabil dengan seorang wanita sedang bercium.

Jelas Irma, selepas hubungan mereka putus beberapa bulan lalu, dia tidak pernah lagi bertemu atau terserempak dengan Nabil dalam mana-mana majlis rasmi.


Irma berkata, sekiranya ditakdirkan juga dia terserempak dengan bekas kekasihnya itu, Irma berjanji akan bertindak profesional dan melayan Nabil seperti rakan artis yang lain.
“Saya belum pernah jumpa dia selepas kami putus. Harap-harap buat masa ini tak terserempaklah. Tapi kalau terserempak juga, kita kenalah profesional. Insya-Allah, Irma boleh menghadapinya,” katanya.
Menurut Irma, jiwanya pada waktu ini semakin tenang dan dia amat bersyukur dalam tempoh perkenalan singkat mereka Allah telah memberi petunjuk Nabil bukan calon suami yang sesuai untuknya.
Tambah Irma lagi, walaupun Nabil pernah menyuarakan harapan untuk berbaik semula tetapi hatinya sudah tertutup untuk lelaki itu.
Ditanya apakah perbezaan selepas dia putus cinta dengan Nabil dan pelakon Farid Kamil, kantanya kedua-dua mempunyai pengalaman berbeza.
“Putus cinta dengan Farid tak seteruk putus cinta dengan Nabil. Tapi Irma dapat hadapi kedua-duanya dengan baik,” jelasnya.
Tidak mahu memikirkan soal lelaki buat sementara waktu, ujar Irma dia sekarang mahu memberi sepenuh tumpuan dalam bidang seni.
0

Afdlin Shauki, David Teo dan Sathia terpilih sebagai juri tetap Raja Lawak musim kelima


PROGRAM realiti komedi, Raja Lawak musim kelima kini bukan saja mampu menarik golongan tertentu saja menyaksikannya, malah semua peringkat usia, bangsa dan agama menggemarinya.

Produksi Raja Lawak baru saja selesai menjelajah sesi uji bakat di seluruh negara bagi mencari peserta bagi musim terbarunya. Siapa bakal terpilih untuk menyertai program itu akan diumumkan pada sidang media di Pasar Seni Kuala Lumpur, hari ini.


Sejak disiarkan pada 2005, penonton teruja untuk mengetahui siapa peserta bertanding, adakah mereka berbakat? Dan, mampukah bersaing dengan pelawak sedia ada yang bukan dilahirkan menerusi program realiti.

Ternyata memang tidak dinafikan Raja Lawak berjaya melahirkan bakat semula jadi. Jadi, kali ini produksi bukan saja menitikberatkan peserta malah pengacara menjadi taruhan mereka.

Bekas peserta musim pertama, Zizan dan Johan memiliki kelebihan dan keunikan bersesuaian dengan program ini. Mereka dipilih mengacara program Raja Lawak musim kedua. Gabungan mereka ternyata cukup kuat sehingga meningkatkan rating dan menjadi program yang mencatat rating tertinggi di Astro Prima.

Episod akhir Raja Lawak tahun lalu turut terpilih sebagai program komedi yang dicalonkan untuk bertanding di Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada 9 Disember lalu.


Selepas peserta dan pengacara, produksi terus memikirkan aspek lain untuk menjadikan ia sebuah program yang lebih kuat, panel juri adalah sebahagian daripada misi menarik penonton.
Daripada enam lokasi uji bakat yang bermula 9 Oktober hingga 7 November lalu, lima juri dibawa mencari peserta terbaik, iaitu Afdlin Shauki, Sathia, Farouk Hussein, David Teo dan Os. Antara mereka ini, tiga akan menjadi juri tetap sepanjang berlangsungnya program ini nanti.

Namun siapakah yang bakal memegang tampuk juri tidak sama sekali akan diumumkan sebelum berlangsungnya episod pertama program ini pada 7 Januari depan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pihaknya sentiasa memikirkan apakah elemen yang menarik penonton untuk terus menyokong program itu.

“Memang media tertanya-tanya siapa juri yang akan menggantikan tempat arwah Din Beramboi. Itulah keistimewaannya apabila juri menjadi sebahagian daripada program ini. Semua juri yang dibawa ke lokasi uji bakat adalah nama besar dan pengaruh mereka masih kuat hingga hari ini. Tidak dinafikan, juri turut menjadi tumpuan yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar bersama mereka,” katanya yang sukar untuk memilih juri berbanding peserta.


Bagaimanapun, Afdlin Shauki, David Teo dan Sathia akan dipilih sebagai juri tetap Raja Lawak musim kelima.

Kredibiliti tiga juri kali ini bukan saja mampu menarik perhatian penonton yang terdiri daripada khalayak Melayu, malah berusaha mendekatkan kaum lain seperti Cina dan India menonton program ini.


Sebagai pelakon dan pengarah, Afdlin ternyata memiliki kelebihan berhadapan dengan peserta yang bakal dibentuk. David Teo pula biarpun bukan berbakat sebagai pelakon komedi, namun karektor, air mukanya dan pertuturannya ketika berucap pada sesuatu acara mampu memberikan orang ramai tersenyum dengan kerana bercakap bahasa Melayu dengan pelat Cinanya. Sathia pula antara pelakon komedi dari kalangan India yang masih aktif.
Oleh Rozdan Mazalan
0

Ziana Zain Dan Noraniza Idris Terima Anugerah Khas


ZIANA Zain dan dan Noraniza Idris menerima anugerah khas daripada Yayasan Insan Melaka (YIM) atas sumbangan besar mereka kepada perkembangan industri seni negara.

Anugerah Jasa Bakti Seniman (JBS) itu disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 pertubuhan berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Ziana yang juga anak kelahiran Merlimau, Melaka, ketika ditemui mengakui agak terkejut apabila diberitahu oleh pengurusan YIM, bahawa dia dipilih menerima anugerah penghargaan dan diminta hadir pada majlis berkenaan.


"Saya memang tidak menyangka sama sekali akan dipilih untuk menerima anugerah ini. Penghargaan ini bagi saya adalah satu penghormatan dan pengiktirafan atas apa yang lakukan selama ini dalam bidang seni.

"Alhamdulillah, masih ada masyarakat yang mengingati saya walaupun sudah lama saya tidak kembali ke Melaka disebabkan kesibukan kerjaya di Kuala Lumpur selepas 20 tahun menceburi bidang nyanyian. Terima kasih YIM atas penganugerahan ini," katanya.

Noraniza Idris pula berasakan anugerah yang diterima itu adalah pengiktirafan berharga atas sumbangannya dalam dunia seni.
“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan istimewa oleh YIM yang melihat kesungguhan individu seperti saya dalam bidang muzik. Bukan mudah untuk orang memilih kita selepas hampir 25 tahun berada dalam industri ini.

“Saya bersyukur kerana ada yayasan yang melihat saya dalam membangunkan bidang muzik dan menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya sebelum ini pernah tinggal dan bekerja di Melaka selama empat tahun.

Selain Ziana dan Noraniza, turut menerima anugerah pada majlis itu adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik (Anugerah Kepimpinan Masyarakat), Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron (Anugerah Kepimpinan Belia), Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan (Anugerah Kepimpinan Media Elektronik) dan Ketua Biro Berita Harian Melaka, Amirullah Andi Nur (Anugerah Jasa Bakti Media).

Hadir sama pada majlis itu Yang di-Pertua YIM, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya dan Pengurus Besar YIM, Datin Seri Hafizah Md Piah.
Oleh Muhammad Hatim Ab Manan
0

Tahun 2010 Banyak Mencatatkan Keruntuhan Rumah Tangga Artis



PETALING JAYA: Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tahun 2010 meninggalkan satu kenangan pahit buat golongan artis kita apabila rumah tangga yang dibina tidak kekal lama.
1. DIRA ZAHAR:

Tarikh Perkahwinan: 5 Januari 2007
Sah Bercerai: 8 April 2010
Jodoh Bertahan: 3 tahun
Talak: Satu
Anak: Tengku Anggun Deandra, 2 tahun


Keretakan rumah tangga pelakon muda ini membuka tirai perceraian artis tanah air 2010 apabila Dira dan suaminya Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (Ash) disahkan bercerai pada 8 April 2010.
Pasangan ini berkahwin pada 31 Ogos 2003. Hasil perkahwinan selama empat tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Tengku Anggun Deandra, 2.
Timbul juga desas-desus yang mengaitkan perceraian mereka dengan badi menyertai program Sehati Berdansa (SB) musim ketiga.

2. SABRINA ALI:

Tarikh Perkahwinan: 21 Mei 2006
Sah Bercerai: 2 Jun 2010
Jodoh Bertahan: 4 tahun
Talak: Satu
Anak: Ariyana, 2 tahun


 Pelakon berdarah kacukan Melayu-Afganistan ini berpisah dengan suaminya Shahrin Abdul Halim, 38, pada sekitar Jun 2010. Pasangan yang berkahwin pada 21 Mei 2006 itu dikurniakan seorang puteri Ariyana, 2.
Perceraian Sabrina dan Shahrin menjadikan mereka pasangan ke-enam yang dikaitkan dengan badi program SB.
Punca perceraian enggan dikongsikan oleh Sabrina demi menghormati keluarga kedua belah pihak.
Terbaru, pelakon filem Khurafat ini sedang berbahagia dengan kekasih baru dan dijangka melangsungkan perkahwinan pada 2011.

3. RADHI OAG:

Tarikh Perkahwinan: 1 Januari 2005
Sah Bercerai: 8 Jun 2010
Jodoh Bertahan: 5 tahun
Anak: Mohd Rifdhi Muslim, 4
Talak: Satu

 Vokalis kumpulan OAG, Radhi atau nama sebenarnya Muhd Radhi Razali bercerai dengan Shazlin Shariff pada 8 Jun 2010 selepas lima tahun melayari bahtera perkahwinan.
Mereka berkahwin pada 1 Januari 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki Rifdhi Muslim, 5.

4. ANNE NGASRI:

Tarikh Perkahwinan: 26 Mei 2006
Sah Bercerai: 25 Jun 2010
Jodoh Bertahan: 4 tahun
Talak: Tiga


Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, dan pasangannya Abdul Wafi Hassan bercerai pada 25 Jun 2010.
Mereka yang berkahwin pada 26 Mei 2006 dikurniakan tiga orang anak Abdul Warits, 2, Abdul Wafri, empat bulan, dan Nazharah Afrozah, satu bulan.


5. MAYA KARIN:

Tarikh Perkahwinan: 14 Ogos 2008
Sah Bercerai: 16 Julai 2010
Jodoh Bertahan: Hampir 2 tahun
Talak: Satu


 Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman ini bercerai dengan suami Steven David Shortose pada 16 Julai 2010. Pasangan itu berkahwin dalam suasana romantis pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali. Majlis resepsi mereka diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 26 Ogos tahun yang sama.



6. AIDA RADZWILL:

Tarikh Perkahwinan: 6 November 2002
Sah Bercerai: 26 Oktober 2010
Jodoh Bertahan: 8 tahun
Talak: Satu



Dramatis terkenal Khalida Adibah Ahmad, 53, atau Aida Radzwill bercerai dengan suami Ismail Ahmad@Mohd Radzwill, 39, (Joe Radzwill) pada 26 Ogos 2010 selepas lapan tahun berkahwin. Pasangan yang tidak dikurniakan anak itu berkahwin pada 6 November 2002.
Selepas bercerai, Aida mengumumkan dia kini menggunakan nama Aida Khalida. Menariknya, sebelum ini Aida turut dikenali sebagai Aida Rahim.

7. RAJA AZURA:

Tarikh Perkahwinan: sekitar Mac 2001
Sah Bercerai: 28 September 2010
Jodoh Bertahan: 9 tahun
Talak: Satu
Anak: Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 5


 Perceraian penyampai radio dan pengacara popular Raja Azura dan suami Adzmin Tan Sri Osman merupakan kes penceraian artis paling panas untuk tahun 2010.
Pada 28 September lalu, terputuslah ikatan mereka sebagai suami isteri selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga. Mereka berkahwin pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 4, dan Puteri Mia Maizurah, 4.

8. ALEEZA KASIM:

Tarikh Perkahwinan: 16 Julai 2006
Sah Bercerai: 27 Oktober 2010
Jodoh Bertahan: 4 tahun
Talak: Satu

 Peragawati dan pelakon Aleeza Kasim dan suami Datuk Mohd Fauzi Che Ros bercerai pada 27 Oktober 2010 selepas empat tahun berkahwin. Mereka berkahwin pada 15 Julai 2006.



















9. SEIN:

Tarikh Perkahwinan: Sekitar Julai 2006
Sah Bercerai: 8 Disember 2010
Jodoh Bertahan: 4 tahun
Talak: Satu
Anak: Syed Tamriz Al-Qudsy, 3 tahun, Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1 tahun,

 Anggota kumpulan Ruffedge, Sein atau sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 27, disahkan bercerai pada 8 Disember lalu dengan isteri Noor Diyana Muhammad atau Nana, 26.

Sein dan Nana.
Hasil perkahwinan selama empat tahun, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.
Sein menjelaskan perceraian mereka bukan disebabkan oleh badi program realiti Sehati Berdansa atau kemunculan orang ketiga.
Suratan atau kebetulan, perceraian Sein dan Nana menjadikan mereka pasangan ke-tujuh daripada program tersebut yang mengalami episod duka itu.
Pasangan lain yang turut mengalami nasib serupa termasuk Asheed (Def Gab C) dan Shima (SB1), Atilia dan Ariff (SB1), Dira dan Ash (SB3), Radhi (OAG) dan Shazlin (SB1), Sabrina dan Shahrin (SB2) dan Anne dan Wafi (SB1).

10. IDA NERINA:

Tarikh Perkahwinan: 26 Jun 2006
Sah Bercerai: 13 Disember 2010
Jodoh Bertahan: 4 tahun
Talak: Satu

 Aktres berkarisma ini disahkan bercerai dengan Sha'arin Mohd Razali (Shahrin) yang juga bekas pemain dram kumpulan Blackrose pada 13 Disember 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Perceraian ini berlaku lebih enam bulan selepas mahkamah sama memutuskan bahawa pasangan itu masih sah bergelar suami isteri apabila menolak permohonan pengesahan lafaz cerai yang didakwa berlaku di luar mahkamah.
Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Shahrin kerana mendakwa dia telah melafazkan cerai terhadap Ida pada Hari Raya Aidilfitri kedua, 22 September 2009.
Pasangan itu berkahwin pada 2 Jun 2006 dan tidak dikurniakan anak.
Biarpun perpisahan sudah terjadi, yang penting perlu ada hormat-menghormati.


0

Pamela Anderson Ketagih Untuk Bergambar Bogel


Biar pun sudah biasa dan dikenali dengan aksi panas dan bergambar tanpa pakaian, aktres seksi, Pamela Anderson mengakui mempunyai pengalaman pertama ketika melakukan aksi tersebut.
Menurut Pamela, dia hampir muntah kerana berasa janggal dengan apa yang dilakukannya itu. Ketika itu aktres simbol seks itu baru sahaja berusia 22 tahun.

“Waktu itu saya bingung dengan situasi itu kerana pertama kali melakukannya. Sebelum itu saya meminta izin dari ibu dan dia mengizinkan saya bergambar untuk majalah Playboy tersebut.
“Saya malu sehingga mahu muntah. Segulung filem pertama dibuang begitu sahaja kerana tiada satu pun gambar yang baik kerana saya asyik menangis dengan perbuatan tersebut,” ujarnya menceritakan pengalaman pertama bergambar bogel.

Namun begitu, menurut Pamela lama kelamaan ia semakin berani melakukan aksi-aksi bogel untuk majalah-majalah lucah antarabangsa.
“Pengalaman pertama memang memalukan tetapi melihat kepada keadaan, jika sekali anda sudah mencuba pasti ia akan menjadi ketagih,” katanya.


0

Sein Nafi Orang Ketiga Punca Penceraian


KUALA LUMPUR: Pasangan juara Sehati Berdansa, Syed Hussein Syed Mustafa atau lebih dikenali sebagai Sein menafikan wujudnya orang ketiga atau badi program Sehati Berdansa menjadi punca penceraiannya dengan Nana awal bulan lalu.

Jelasnya, punca utama penceraian mereka adalah disebabkan tiada lagi persefahaman dalam menenruskan ikatan tersebut.

“Itu hanya khabar angin, tiada orang ketiga atau badi Sehati Berdansa sebagai punca perpisahan kami.

“Kami berpisah secara baik selepas berbincang untuk mengambil keputusan terbaik. Masing-masing setuju untuk mencari jalan hidup sendiri,” ujarnya yang ditemui di Anugerah Skrin 2010, Jumaat.

Pasangan ini disahkan bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada 2 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya dia menerima jika ditakdirkan kembali berkongsi hidup semula dengan bekas isterinya itu.

“Saya dan Nana masih berhubung terutamanya kerana anak. Kami tidak mahu penceraian ini menjejaskan kehidupan anak-anak.


“Buat masa ini saya bebas untuk menggambil anak saya pada bila-bila masa,” ujarnya yang mempunyai dua cahaya mata Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.

Dalam pada itu, Sein mengakui perbezaan ketara setelah kembali menjalani hidup bersendiri. Justeru dia kini lebih menumpukan perhatian terhadap syarikat produksi miliknya, Cumwerk Sdn Bhd.

“Saya akui banyak perbezaan hidup dulu dans ekarang. Tak dinafikan sunyi dari gelak tawa anak-anak, sebab itu saya tumpukan perhatian pada kerja.

“Saya kini sibuk dengan penulisan skrip dan kerja-kerja disebalik tabir. Syarikat saya ini ditubuhkan pada bulan Julai tahun lalu.


“Semua projek dalam proses pembikinan, dan Isya-Allah impian untuk menerbitkan sebuah drama atau filem,” ujarnya yang baru menamatkan pengajian di London Film School dalam jurusan Seni Fotografi.-Kemalia Othman