Monday, 12 December 2011
Pelakon Izreen Azminda Terus Dilanda Kontroversi
MUTAKHIR ini banyak cerita kurang enak dikaitkan dengan dramatis yang sedang mencipta nama, Izreen Azminda Aznam. Ia termasuk kisah putus cintanya dengan pelakon Johan Ariff Asa’ri (Botak) serta merampas tunang orang. Sedikit sebanyak perkara itu membuatkan reputasinya terguris.
Dalam berhadapan dengan kemelut itu, ada sedikit sinar dalam hati pelakon yang mula diminati ramai menerusi drama bersiri Juvana itu apabila bakat lakonannya lebih dinilai orang.
Satu lagi berita gembira apabila timbul cerita mengatakan pemenang tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 ini bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati.
Lelaki yang berjaya bertakhta di hati Izreen itu dikatakan seorang pengarah fotografi drama dan mereka mula berkenalan sewaktu bekerja dalam produksi sama.
Ditemui pada satu sesi fotografi bersama Rap, baru-baru ini, pelakon kelahiran Kangar itu bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenainya.
Waktu sama, dia mengharapkan tidak ada lagi pihak cuba mengaitkan atau bertanya mengenai isu kontroversi yang cuba digembar-gemburkan membabitkan isu putus cinta bersama Johan dan dikatakan merampas tunangan orang.
“Tunang? saya tidak pernah memikirkan mengenainya buat masa ini. Apa yang penting saya mahu berlakon sepuas-puasnya dulu. Apabila tiba waktunya, saya diikat bersama lelaki pilihan saya, saya tidak akan menyembunyikannya dan berkongsi berita itu bersama rakan media,” katanya.
Kata pelakon drama Tentang Dhia di TV3 ini lagi, buat masa sekarang, dia masih lagi solo. Begitupun tegas Izreen, sebagai seorang wanita sejati, sudah tentu dia juga ingin berumah tangga satu hari nanti.
“Saya mahu berumah tangga dan memiliki cahaya mata. Saya memang sayangkan budak-budak dan mahu anak sendiri selepas berkahwin. Itu impian saya. Bagaimanapun, selagi perkara itu belum terjadi, saya akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada dunia lakonan,” ujarnya.
Berdepan dengan pelbagai kontroversi selepas hampir lima tahun berjuang dalam industri seni jelas Izreen, dia masih kuat dan mampu menghadapinya kerana cintanya pada dunia lakonan mengatasi segala-gala minat lain.
“Bayang kan sepanjang empat tahun saya berlakon, tidak ada satu pun kontroversi dikaitkan dengan diri saya tapi apabila Juvana mendapat perhatian, saya mula diperhatikan. Tidak dinafikan saya tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan situasi yang berlaku.
“Saya akui kontroversi yang terjadi membabitkan Johan dan saya timbul atas kelemahan diri. Saya terlalu mengikut emosi. Bagaimanapun, saya banyak belajar daripadanya. Saya mengharapkan ini adalah kenyataan terakhir saya mengenainya dan jangan ada lagi pihak bertanya,” katanya.
Tambah Izreen lagi, dia mahupun Johan sendiri sudah mula melupakan apa yang sudah berlaku dan membawa haluan masing-masing. Paling penting, mereka mahu memastikan kerjaya lakonan yang dibina bertahun-tahun tidak dirosakkan hanya kerana sedikit kesilapan.
“Mengenai kisah rampas tunangan orang itu juga tidak benar. Saya tidak tahu bagaimana perkara itu boleh timbul. Saya tidak pernah merampas mana-mana lelaki daripada mana-mana wanita kerana saya tahu akibat dan kesannya. Saya juga tidak mahu perkara sama berlaku kepada diri saya. Itu adalah perkara pertama paling saya mahu jauhkan.
“Bagaimanapun, saya pernah memberikan kenyataan kepada pihak yang mengatakan saya merampas tunangnya, tunjukkan bukti sekiranya benar. Mana gambar majlis pertunangannya kalau benar. Sehingga sekarang, ia tidak pernah timbul dan orang yang menjaja cerita itu juga berdiam diri,” katanya.
Jelas Izreen yang memegang watak Melly dalam Tentang Dhia mengisi slot Akasia, dia gembira kerana kerja kerasnya selama ini untuk menampilkan bakat sudah mula mendapat perhatian penerbit mahupun stesen televisyen apabila pelbagai watak diberikan kepadanya untuk dilakonkan.
“Sebelum ini sewaktu mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan, pengarah mahupun produser selalu memberikan saya watak perempuan jahat. Begitupun, sekarang ini saya sudah diberikan kepercayaan untuk melakonkan pelbagai watak termasuk wanita baik, teraniaya mahupun watak emak.
“Bayangkan ada pelakon yang tidak mahu melakonkan watak emak kerana kata mereka tidak sesuai dengan usia. Pada saya perkara itu bukan halangan, malah ia mencabar kredibiliti sebagai seorang pelakon. Sudah dua kali saya melakonkan watak ibu dan ia mendapat pujian peminat.
“Saya berlakon bukan kerana mahu nampak cantik selalu dan saya tak kisah untuk mencuba pelbagai watak. Diharapkan selepas ini, saya turut diberikan lagi watak lebih mencabar,” katanya.
PROFIL
Nama Penuh: Izreen Azminda Aznam
Tarikh lahir: 30 Ogos 1985
Usia: 26 Tahun
Asal: Kangar, Perlis
Kerjaya: Pelakon
Drama: Sesuci Cinta Sofia, CID 3278, Gerak Khas, Atiqah Najwa 2, Dilema Wanita, Air Mata Maria, Pasrah, Pria, Bella, Gila Auto Cinta, Apa Kata Cinta, Sedetik Aku Berpaling, Nenek Kebaya, Puteri Arora Beradu, Ragam Menantu, Gelora Di Hati Sara, Pasukan Gerakan Marin, Isabella, Juvana, Mendongak Ke Langit, Tentang Dhia, Penjara
Filem: Nana Tanjung 2, Otai
Program: Seekers (Musim 6) & In Trend
Pendidikan: Diploma Kewartawanan Integratif, Institut Media Integratif
Malaysia (MIIM).
Pencapaian: Tempat Ketiga, Dewi Remaja 2005/2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment