Namun, prestasi mereka dilihat semakin menunjukkan peningkatan apabila teguran daripada juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan diterima secara positif untuk memajukan diri.
Jika di awal pertandingan, mereka sering tersenarai sebagai tiga peserta terendah, namun bermula minggu keempat, mereka bangkit untuk terus memperjuangkan nama Syok di pentas MLM.
Dibarisi oleh nama besar seperti Ifa Radziah, Suhaimi Yusuf dan Ariff Sudin, membawa nama dua negara (Singapura dan Malaysia), Syok mula menunjukkan taringnya kepada penonton.
Minggu yang bertemakan ‘silent comedy’ dan tiru gaya artis ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Syok agar persembahan mereka tidak menghampakan.
Tepukan gemuruh harus diberikan kepada Ifa Radziah yang sebelum ini digelar ‘patung cendana’ oleh Chef Wan, berjaya memukau penonton dengan gaya penyanyi tersohor, Anita Sarawak dan ianya hampir 99 peratus sama.
Dengan kostumnya yang begitu menarik diserikan lagi dengan gaya tarian Anita yang sememangnya bertenaga. Tidak hairanlah jika suasana di dewan Royal Teater Selangor riuh rendah dengan bunyi sorakan penonton.
Tidak kurang juga dengan penampilan Suhaimi sebagai watak 'Terminator' dan Ariff Sudin, yang cuba meniru gaya dan suara rakannya dari kumpulan Bawel, Amin, yang telah tersingkir pada minggu lalu.
Nampaknya, Syok semakin bijak menggunakan peluang yang ada dengan menghasilkan idea yang kreatif dari minggu ke minggu.
‘Gaduh’ cari idea
Mengakui pernah bekerjasama sebelum ini, di Singapura untuk menjayakan sebuah persembahan, idea untuk bergabung adalah pilihan tepat bagi mereka kerana masing-masing telah mengenali antara satu sama lain.
Menurut Suhaimi, ketika ditawarkan untuk menyertai MLM, tiada lain yang berada di fikirannya kecuali Ifa Radziah dan Ariff Sudin.
“Walaupun kami saling mengenali antara satu sama lain sebelum ini, tidak semestinya kami mempunyai daya pemikiran yang sama. Di antara kami, ada perkara yang serupa tetapi tidak sama.
“Ada kalanya, untuk mencari idea, kami terpaksa ‘bergaduh’ dahulu untuk mendapatkan idea yang paling bernas.
“Masing-masing mempunyai corak pemikiran dan cara penyampaian yang berbeza. Tapi, setelah mendapat idea yang dicari, kami kembali baik seperti biasa. Gaduh-gaduh manja sahaja,” katanya yang baru sahaja menggondol anugerah, Best Comedy Performance, Asian TV
Awards di Singapura.
Tambahnya lagi, pada minggu awal MLM, mereka juga masih kabur dalam mencari genre dan konsep lawak yang diminati oleh masyarakat Malaysia.
“Memang kami dah lama kenal, sejak 2009 lagi, tapi kami tidak pernah bersama dalam satu kumpulan untuk bertanding. Jadi, itulah kesukaran yang perlu kami atasi.
“Masa di awal persembahan, masih ada perasaan malu dan kekok untuk beraksi bersama, namun setelah berbincang, perasaan itu perlu dibuang jauh-jauh supaya ia tidak mengawal tingkah laku kami untuk beraksi.
“Kini, kami semakin serasi di antara satu sama lain dan penonton juga sudah mula melihat persembahan kami. Mungkin juga penonton sudah mula mengenali kami,” katanya yang turut menyertai teater Inggeris di Singapura.
Berkorban demi MLM
Siapa sangka, tawaran demi tawaran telah diterima oleh ahli anggota Syok di sepanjang penglibatan dalam pertandingan ini, namun ianya terpaksa ditolak demi MLM.
Walaupun masyarakat Malaysia kurang mengenali nama Suhaimi Yusuf, namun jika di Singapura, namanya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Suhaimi berada dalam kelas yang tersendiri di negaranya, memandangkan pelbagai anugerah telah dirangkul sepanjang lebih 20 tahun bergiat dalam dunia seni.
“Saya memang pernah memasang impian untuk menyertai teater Inggeris bersama penerbit terkenal di Singapura. Tetapi, apabila peluang itu datang, saya harus menolak untuk MLM.
“Saya tidak sangka dua perkara yang sama-sama penting datang pada waktu yang sama. Ketika itu, memang sukar untuk membuat pilihan kerana kedua-duanya penting dan saya mengharapkannya.
“Akhirnya, setelah difikirkan masak-masak, saya pilih MLM kerana bagi saya, MLM adalah platform untuk saya memperkenalkan diri saya kepada orang Malaysia. Sebelum ini saya tidak pernah datang Malaysia, ini adalah kali pertama,” katanya yang akan meneruskan jenama
Syok ke peringkat yang seterusnya.
Bagi satu-satunya peserta wanita mewakili Malaysia di pentas MLM, Ifa Radziah, juga mengalami nasib sama seperti Suhaimi.
“Saya terpaksa tolak banyak tawaran termasuklah lakonan teater. Saya tidak boleh membuat beberapa perkara dalam satu masa.
“Saya akan hilang fokus untuk MLM jika saya berbuat begitu. Sebab itulah, sepanjang MLM, saya menolak semua tawaran lakonan.
“Saya hanya akan pergi ‘show’ pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Hari lain, memang saya fokuskan untuk persediaan menghadapi persembahan di MLM,” katanya yang mengakui waktu tidur dan rehatnya turut terganggu sepanjang terlibat dalam MLM.
Tiada penyingkiran
Setelah kumpulan Bawel dan 3G disingkirkan pada minggu keenam, minggu ini pula kesemua peserta berjaya untuk terus bertanding di minggu kelapan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, tiada penyingkiran pada minggu ini tidak menjamin kedudukan selesa pada minggu kelapan.
Kemungkinan besar, akan ada dua penyingkiran pada minggu hadapan dan bilangan peserta yang layak untuk ke peringkat akhir tidak diumumkan lagi.
“Perkara ini telah ditetapkan oleh Astro sejak awal lagi kerana tidak semestinya setiap minggu ada penyingkiran. Namun, ada juga penyingkiran yang dibuat lebih daripada satu.
“Peserta juga dinasihatkan untuk memberi mutu persembahan yang baik untuk mengelakkan daripada tersingkir di minggu-minggu terakhir.
“30 Disember ini adalah minggu akhir MLM dan penentu siapakah pemilik takhta tersebut,” katanya di dalam sidang media.
Bawal Power ditegur lagi!!
Jika sebelum ini, Chef Wan, sering menasihati peserta agar tidak menyinggung serta menimbulkan salah faham penonton, pada minggu ini Datuk Siti Nurhaliza pula peka dengan perkara ini dan menegur persembahan, Bawal Power (BP).
Bagi Siti, persembahan BP yang memaparkan kisah remaja yang menghadapi kesukaran untuk membuang air kecil kerana kecederaan teruk pada tangan, adalah kurang bijak untuk dipentaskan.
“Saya rasa, idea sebegini tidak perlu dipamerkan di atas pentas kerana ia agak sensitif bagi kalangan masyarakat kita.
“Banyak lagi isu lain yang boleh dibawa ke atas pentas. Persembahan pertama, amat menghiburkan tetapi yang kedua ini sensitif dan saya sendiri tidak tahu bagaimana nak jelaskan perkara itu.
“Saya berharap agar BP tidak akan mengulangi perkara yang sama di masa yang akan datang,” katanya.
Osbon kekal tertinggi
Tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatan otai lawak, Osbon (Os dan Abon) yang sentiasa berjaya dalam menyediakan ramuan untuk penonton dan juri.
Pada minggu ini, Abon yang meniru gaya Mak Mah dan Os sebagai Bandi Amuk, juga tidak mengecewakan penonton yang hadir.
Persembahan kedua juga sangat memberangsangkan apabila konsep ‘silent comedy’ berjaya membuatkan penonton ketawa tanpa henti dengan ciptaan watak Ultraman dan Superman.Tidak hairanlah jika Osbon sekali lagi mengungguli carta pada minggu ini sebanyak 74 peratus.
Boboi di tempat kedua tertinggi
Boboi berada di tempat kedua tertinggi dengan undian sebanyak 68 peratus, diikuti peserta solo, Adlin Aman Ramlie sebanyak 64 peratus.
Tempat keempat pula ialah Saehu dengan 63 peratus, Syok (60), Bawal Power (56) dan Pimai (56).
Pada minggu ini, percaturan kumpulan Pimai seakan tidak menjadi dan meletakkan mereka di kedudukan paling bawah.
0 comments:
Post a Comment