Monday, 25 February 2013
Fazura Tolak Babak Ranjang Dan Berpelukan
Fazura hormati permintaan ibu, terima tawaran berlakon dengan syarat.
Suatu ketika dulu, Fazura pernah melahirkan hasrat untuk memperlahankan kerjaya seninya demi permintaan ibu tercinta. Justeru, tahun lalu tidak banyak kelibat dirinya dilihat di layar perak atau skrin kaca. Cuma sesekali wajah jelita itu menghiasi kulit depan akhbar dan majalah sambil bercerita mengenai perniagaan butik yang baru diceburinya itu.
Bagaimanapun, ketentuan Allah tiada siapa yang tahu dan sebagai insan, siapalah Fazura untuk menolak rezeki yang terbentang di depan mata? Jendela 2013 dibuka dengan penuh kesyukuran apabila tawaran berlakon datang mencurah-curah.
Tak tolak rezeki
Enggan dilihat seperti menolak rezeki, aktres ini kembali membuat penampilan semula dengan menerima tawaran berkenaan. Begitupun, semua itu tetap ada syaratnya.
“Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, saya tidak akan berlakon dalam babak ranjang, berpelukan dan berpegangan tangan sambil berjalan. Saya buat begitu kerana saya menghormati permintaan ibu saya yang tidak suka dengan babak sebegitu.
“Memandangkan drama Kisah Cinta yang saya bintangi itu tidak mempunyai babak sedemikian dan kebetulan pengarah filem berkenaan kawan baik saya, serta ia menggandingkan pula saya dengan Shaheizy Sam serta Nazim Othman, jadi saya terima tawaran terbabit.
“Memang dari dulu lagi saya ingin berlakon dengan Sam kerana dia memang pelakon yang bagus,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta ubat gigi Colgate Optic White di Bandar Utama, pagi kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Chris Pikounis.
Berhenti berlakon bila kahwin
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin ini berkata, sebagai pelakon ada ketika dia perlu bertolak ansur dan tidak terlalu mementingkan diri sendiri.
Demi menghormati penulis skrip drama yang bakal disiarkan di Slot Lestary TV3 itu, Fazura terpaksa ‘melanggar’ sedikit syarat yang ditetapkannya.
“Ada satu babak saya perlu memegang tangan kekasih saya ketika kami meluahkan perasaan cinta masing-masing. Pegang sikit saja dan itu pun ketika kami sedang duduk. Babak itu perlu kerana ia mahu menunjukkan perasaan cinta kami. Saya kena juga menghormati kehendak penulis skrip.
“Bagaimanapun, jika boleh dielak, saya akan cuba mengelak demi menjaga perasaan ibu. Jika ditakdirkan saya berkahwin satu hari nanti, tak kisahlah dengan dengan sesiapa pun, memang saya akan berhenti berlakon. Jika bakal suami saya itu seorang pelakon, saya juga akan suruh dia berhenti berlakon,” tegasnya.
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment