Izara Aishah
Meskipun namanya berada di puncak, pelakon jelita ini tidak pernah menyembunyikan status hatinya yang sudah berpunya. Akui sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka sejak di tingkatan tiga lagi, Izara semakin yakin dengan hubungan yang dibina.
Bagaimanapun pelakon kacukan Melayu-Pakistan ini bingung apabila timbul dakwaan mereka sudah putus hubungan.
"Dakwaan mengatakan saya mempunyai kekasih baru tidak benar. Saya sangat terkejut dengan gosip ini. Sejujurnya saya hanya setia pada yang satu," ujar Izara.
Tegas Izara, dia tidak mungkin mencurangi kekasihnya itu.
"Hubungan kami sangat baik dan boleh dikatakan tiada sebarang masalah antara kami.
"Percintaan kami sejak dari zaman persekolahan tak mungkin saya akan menduakannya, bagi saya dia seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan berfikiran terbuka," katanya yang sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan aktor Fizo Omar.
Melihat dunia artis yang semakin panas dengan kisah putus cinta, Izara berharap perkara itu tidak akan berlaku terhadapnya. Bagaimanapun, dia terpaksa akur sekiranya bukan jodoh mereka.
"Hubungan kami memang serius. Tapi masih belum fikir ke arah yang lebih jauh (perkahwinan)," kata Izara yang masih belum sedia untuk mendedahkan buah hatinya itu.
Semakin memilih?
Sejak membintangi drama 'Vanilla Coklat', nama Izara Aishah semakin menjadi sebutan. Turut popular menerusi beberapa drama seperti Naziha dan Soffiya, naib juara pertandingan Dewi Remaja 2009/2010, ini mula menjadi rebutan pengarah dan penerbit tempatan tanah air.
Bagaimanapun sejak video tarian tango 'ghairahnya' tersebar di Youtube, ramai yang menyangka pelakon kecil molek ini mula menyepi. Sementelah wajahnya juga jarang kelihatan di kaca TV.
Tidak mudah melatah, pemilik nama Izara Aishah ini menganggap kariernya belum berakhir. Akui Izara, kontroversi itu tidak pula menggugat karier seninya.
"Memang sekarang saya jarang muncul di kaca TV kerana tumpuan saya adalah untuk filem terbaru, Pilot Cafe.
"Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap filem ini," kata Izara yang kini sibuk menjalani penggambaran filem arahan Osman Ali itu.
Membawa watak utama dalam karya adaptasi nukilan Ahadiat Akashah & Zuraidah Othman, Pilot Cafe mengisahkan tentang dilema seorang gadis terhadap dua lelaki.
Menurut Izara, dia berasa gembira apabila dipilih untuk menerajui watak utama di samping Fahrin Ahmad dan Neelofa.
"Ini adalah gandingan pertama saya bersama mereka. Jalan cerita filem ini sarat dengan kisah cinta.
"Memang pada mulanya saya rasa agak gentar, namun saya akan memberikan yang terbaik demi filem ini," katanya yang turut membintangi filem KL Zombie dan Putera di samping Beto Kusyairi dan Namron.
Tak lupa diri
Semakin 'ghairah' menerima tawaran filem, tidak bermakna aktres kelahiran Batu Pahat Johor ini sudah melupakan drama yang sebelum ini banyak melonjakkan namanya.
Baru saja selesai menjalani penggambaran siri, Oh My English, untuk musim kedua, Izara berkata, dia masih banyak menerima tawaran drama.
Sedar kemampuannya sebagai pelakon baru, dia terpaksa menolak tawaran drama buat masa ini. Malah akui Izara, dia bukanlah semakin memilih seperti mana yang didakwa segelintir pihak.
"Saya akan ambil tawaran mana yang datang dulu, tidak kira drama atau filem.
"Jadual lakonan saya memang padat. Sebab itulah saya tak boleh terima tawaran yang banyak.
"Biarlah saya fokus satu-satu dahulu," katanya yang terpaksa menangguhkan pengajian di kolej demi memberi tumpuan kepada lakonan.-SH
0 comments:
Post a Comment