Tuesday, 26 February 2013

Jennifer Lawrence Yang Cantik, Muda, Seksi Dan Berbakat

Jennifer Lawrence yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Academy ke-85 semalam. 


CANTIK, muda, seksi dan berbakat. Itu kriteria paling sesuai ditujukan kepada pelakon yang mencipta nama menerusi filem-filem pecah panggung seperti The Hunger Games dan X-men: First Class, Jennifer Lawrence yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Academy ke-85 semalam.

Lebih menarik lagi, kejayaan pelakon kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat yang baru berusia 22 tahun itu diraih selepas menewaskan pelakon yang lebih senior seperti Jessica Chastain (Zero Dark Thirty) Emmanuelle Riva (Amour) dan Naomi Watts (The Impossible).

Tidak ketinggalan, Jennifer turut mendapat saingan daripada seorang pelakon kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun iaitu Quvenzhane Wallis menerusi filem Beasts Of The Southern Wild.

Namun berlaku sedikit insiden memalukan ketika Jennifer sedang melangkah ke pentas majis anugerah sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang oleh aktor Jean Dujardin. Dia tiba-tiba terjatuh di tangga ekoran gaun yang dipakainya terlalu labuh dan berat.

Meskipun mengalami insiden yang cukup memalukan, Jennifer tetap berbangga apabila para tetamu memberikan penghormatan dengan standing ovation (berdiri dan memberikan tepukan gemuruh) kepadanya.



KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah Jennifer Lawrence (kiri) dan Anne Hathaway dengan kemenangan masing-masing.

"Kamu semua berdiri kerana berasa sesuatu yang agak melucukan apabila saya terjatuh, tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih atas penghormatan yang diberikan.

"Semua ini memang gila dan sudah tentu saya tidak percaya dengan kemenangan yang diraih ini," ungkapnya sambil mengucup trofi Oscar yang dimenanginya hasil lakonannya sebagai Tiffany dalam filem Silver Linings Playbook itu ketika berucap di atas pentas.

Filem tersebut mengisahkan tentang kehidupan yang dilalui Tiffany Maxwell, seorang janda muda yang mengalami masalah ketagih seks setelah kematian suami.

Dalam filem itu juga, Jennifer turut bergandingan dengan aktor Bradley Cooper yang membawakan watak sebagai Patrizio Solitano, seorang bekas guru yang mengidap penyakit bipolar.

Meskipun Jennifer berhasil meraih kejayaan untuk kategori Aktres Terbaik, lain pula ceritanya buat Bradley yang gagal memenangi Aktor Terbaik setelah tumpas di tangan Daniel Day Lewis yang membawakan watak Abraham Lincoln dalam filem Lincoln.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, ternyata lakonan Jennifer sebagai Tiffany Maxwell dalam filem romantik komedi itu memberikan impak yang besar buat dirinya.

Buktinya, sebelum ini aktres itu turut berjaya memenangi kategori Aktres Terbaik (Komedi) pada acara Anugerah Golden Globe ke-70 yang berlangsung pada bulan lalu.

Bagaimanapun, ia bukan merupakan kali pertama aktres berkenaan pernah tercalon merebut trofi Oscar. Dua tahun lalu dia pernah tercalon dalam kategori yang sama menerusi filem Winter's Bone.

Bersaing dengan beberapa pelakon hebat seperti Natalie Portman, Annette Bening, Nicole Kidman dan Michelle William, akhirnya dia terpaksa akur apabila tewas di tangan Natalie yang menampilkan lakonan mantap dalam filem Black Swan.



TERBAIK..Jennifer Lawrence bersama pemenang-pemenang yang lain. 

Ternyata permulaan awal tahun 2013 pastinya memberikan kejayaan tersendiri buat pelakon yang memulakan kerjaya sebagai pelakon tujuh tahun lalu setelah menggondol dua anugerah utama dalam tempoh dua bulan.

Menang besar

Pada majlis Anugerah Academy ke-85 juga menyaksikan filem Lincoln mendapat pencalonan terbanyak iaitu 12 kategori dan diikuti dengan Life Of Pi dengan 11 kategori.

Meskipun mendapat pencalonan terbanyak, ternyata penguasaan filem berkenaan dalam memenangi trofi Oscar kali agak mengecewakan apabila ia sekadar membawa pulang dua trofi iaitu menerusi kategori Aktor Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.

Sebaliknya, filem Life Of Pi yang mengisahkan tentang seorang pemuda yang terdampar di lautan bersama seekor harimau telah menang besar apabila meraih empat trofi.

Life of Pi menang Anugerah Skor Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Pengarah Terbaik yang diraih oleh Ang Lee.

Selain itu, filem muzikal Les Miserables yang tercalon dalam lapan kategori pula berbangga apabila Anne Hathaway berjaya meraih trofi untuk kategori Aktres Pembantu Terbaik, meskipun pelakon utamanya iaitu Hugh Jackman gagal memenangi Anugerah Aktor Terbaik.


BEN AFFLECK (depan, tengah) sedang berucap penuh emosi bersempena kemenangan filem arahannya, Argo merangkul Anugerah Filem Terbaik.
 

Sebuah lagi filem iaitu Argo lakonan dan arahan Ben Affleck yang tercalon dalam tujuh kategori telah mencipta kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

"Ada sembilan buah filem yang tercalon untuk kategori Filem Terbaik, jadi saya anggap kesemua filem yang tercalon ini memang sangat hebat dan persaingan memang agak sengit," ulas Affleck tentang kemenangan Argo itu.

Selain Argo, antara filem lain yang turut tercalon seperti Amour, Beasts Of The Southern Wild, Django Unchained, Les Miserables, Life of Pi, Lincoln, Silver Linings Playbook dan Zero Dark Thirty.

Menariknya, Argo merupakan filem yang dipilih sebagai Filem Terbaik, namun Affleck selaku pengarahnya langsung tidak tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik.

Situasi yang sama kali terakhir pernah berlaku menerusi filem Driving Miss Daisy pada majlis Academy Awards ke-62 pada tahun 1989.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...